Sabah lulus operasi 24 jam Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tangani isu kesesakan logistik

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah lulus operasi 24 jam Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tangani isu kesesakan logistik Image from: Sabah lulus operasi 24 jam Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tangani isu kesesakan logistik amree19/10/2026 - 09:50 Foto kredit Sabah Ports Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt — Kabinet Sabah meluluskan operasi 24 jam di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) bagi menangani kesesakan logistik, namun pelaksanaannya bergantung pada kesiapsiagaan keseluruhan ekosistem industri serta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

 

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penyelarasan rantaian bekalan perlu diperkukuh kerana kebanyakan depoh kontena dan kilang tempatan masih belum bersedia beroperasi sepanjang masa, dengan sesetengahnya menghentikan operasi seawal pukul 5 petang.

 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kesesakan pelabuhan boleh dilihat sebagai petunjuk peningkatan aktiviti ekonomi negeri, namun semua komponen pengangkutan perlu bersedia sebelum waktu operasi penuh dikuatkuasakan.

 

Bagi menangani isu itu, beliau mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas bulanan bersama agensi kerajaan dan pemain industri perkapalan untuk memantau pelaksanaan 10 pelan tindakan sementara, termasuk penyediaan kawasan parkir treler sementara di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

 

"Projek pembesaran SBCP sudah mencapai kemajuan 68.1% dan dijangka siap menjelang Oktober 2027. Kendalian kontena Sabah Ports Sdn Bhd naik 6.07% kepada 532,391 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2025, dengan SBCP menyumbang 396,964 TEU atau 74.6% daripada jumlah berkenaan," katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 ujar beliau, SBCP merekodkan kendalian sebanyak 416,854 TEU. Perkembangan itu mengukuhkan kepentingan pelabuhan berkenaan dalam menyokong aktiviti perdagangan dan pergerakan barangan di Sabah yang semakin meningkat positif.

 

Sabah Ports_DagangNews2026
Foto kredit Sabah Ports

 

Di bawah inisiatif Sabah First, Kabinet negeri pada Ogos 2026 meluluskan dasar baharu yang membolehkan syarikat tempatan membayar pajakan tanah perindustrian KKIP secara tahunan sepanjang tempoh 30 tahun, berbanding syarat terdahulu yang mewajibkan bayaran penuh dalam tempoh dua tahun.

 

Kementeriannya turut merintis kerjasama strategik dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi menyediakan jaminan pembiayaan komersial kepada syarikat tempatan yang melabur di taman perindustrian, sekali gus menyokong keperluan modal kerja.

 

Dalam pada itu, Ewon berkata, kerajaan Sabah merekodkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM25.59 bilion, melibatkan sebanyak 101 projek dan mewujudkan kira-kira 9,157 peluang pekerjaan bagi tempoh September 2020 hingga Jun 2026.

 

"Pelaburan itu terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM19.60 bilion dan pelaburan langsung domestik (DDI) RM5.99 bilion, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan negeri mencapai RM6.4 bilion pada 2025," jelasnya.

 

Selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, kerajaan negeri ujar beliau, menyasarkan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK meningkat kepada RM7.5 bilion hingga RM8 bilion, dengan sasaran pelaburan baharu RM8 bilion hingga RM10 bilion. 

 

Antara projek utama yang menyokong pertumbuhan itu ialah pelaburan keluli hijau Esteel bernilai RM6.59 bilion dan loji gas asli cecair terapung PFLNG 3 bernilai RM12 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, yang dijadual beroperasi pada suku keempat 2027.

 

Bagi memperkukuh pembangunan jangka panjang, kerajaan negeri memulakan proses pengambilan tanah bagi Taman Perindustrian Kota Belud seluas 5,437 hektar untuk industri berteknologi tinggi, selain menyediakan pelan induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat seluas 485.6 hektar.

 

Kementerian berkenaan turut memuktamadkan terma rujukan Pelan Induk Pengangkutan dan Logistik Bersepadu Sabah yang merangkumi pengangkutan darat, laut dan udara, dengan siling pembangunan RM500.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved