
SEREMBAN - Pertemuan antara Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang dijadualkan pagi ini dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut sumber, pertemuan yang sepatutnya berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar itu dibatalkan selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada pihak berkuasa.
“Pertemuan hari ini dibatalkan atas faktor keselamatan selepas menerima nasihat daripada pihak berkuasa,” katanya.
Sumber memberitahu, pertemuan dijadualkan pada jam 9 pagi itu pada asalnya bertujuan sebagai sesi perkenalan antara Ismail, anggota Exco dan Tunku Nadzaruddin, susulan dakwaan dirinya sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong turut dijadualkan menghadiri pertemuan berkenaan.
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga diberitakan bakal hadir.
Pembatalan itu berlaku ketika pertikaian mengenai takhta Negeri Sembilan dan kedudukan pentadbiran negeri masih berterusan.
Polis turut dilihat berkawal di pintu masuk utama serta sekitar kawasan kompleks galeri, manakala Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad turut kelihatan di lokasi.
Susulan pembatalan berkenaan, Ismail bersama delegasinya meninggalkan galeri sebelum mengadakan pertemuan sambil bersarapan di sebuah hotel berhampiran.
Pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam.
Sementara itu, satu perhimpunan solidariti sebagai tanda sokongan terhadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut dijadualkan berlangsung di galeri berkenaan bermula jam 8.30 pagi.
Bagaimanapun, tiada perhimpunan kelihatan di lokasi, yang setakat ini kekal tenang dengan kawalan polis. - Getaran, 23 September 2026






