PM Anwar bantah tindakan MB, EXCO gulingkan Tuanku Muhriz – “Ini langkah biadab!”

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 4:32 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan EXCO negeri yang didakwa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu tindakan biadab dan tidak bertamadun.

Image from: PM Anwar bantah tindakan MB, EXCO gulingkan Tuanku Muhriz – “Ini langkah biadab!”

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Harian Metro, Anwar menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai mandat untuk mempersoalkan atau mengambil tindakan terhadap kedudukan Raja, sambil menyatakan bantahan keras terhadap keputusan berkenaan.

“Menteri Besar dan EXCO yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam perjalanan menaiki kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika kemelut berkaitan pentadbiran dan adat Negeri Sembilan terus menjadi perhatian, khususnya berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri berkenaan.

Sebelum ini, Ismail mengesahkan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli EXCO dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan penurunan takhta Raja, namun pada masa sama mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kepentingan negara, keselamatan serta institusi berkaitan terus terpelihara.

Menurutnya, keputusan beliau untuk menghadap Tuanku Muhriz sebelum ini dibuat selepas mahkamah memutuskan bahawa baginda merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Anwar turut mengakui bahawa kuasa berkaitan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar mempunyai kaitan dengan Undang Luak, namun menegaskan bahawa sesuatu keputusan tetap perlu dibuat berdasarkan proses dan peraturan yang ditetapkan.

“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita. Jangan dia kata tak boleh campur, bukan campur.
“Tak boleh Undang buat keputusan, tapi Undang buat keputusan itu bukan mutlak, dia kena ikut juga peraturan. Sekarang kita dengar dua-dua, ada dua pihak, satu Undang kata dia Undang, ada Undang kata tak.
“Kita ada Luak dan pandangan kata sebaliknya. Jadi saya kata, putuskan dulu. Kalau semua Undang sudah ikut proses yang betul dan Undang dilantik dia buat keputusan, itu luar daripada bidang kuasa saya,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Polemik berterusan! Peguam perjelas pembatalan pelantikan Exco oleh Tuanku Muhriz sah, berperlembagaan

Isu berkenaan kini menjadi pertikaian dari sudut bidang kuasa dan kesahan proses. Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan proklamasi berkenaan sah, manakala Dewan Keadilan dan Undang pula dilaporkan berpandangan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai penurunan takhta itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Sumber: Harian Metro (Mohd Anwar Patho Rohman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved