sarah06/11/2026 - 09:26 KUALA LUMPUR 6 Nov - Pertikaian antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berhubung hak pengurusan serta pengagihan gas di Sarawak dijangka diselesaikan di luar mahkamah sebelum akhir tahun ini, menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa teknikal bebas kini sedang meneliti hujah kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian terhadap pertikaian itu, meskipun tindakan undang-undang masih berlangsung.
Dalam wawancara bersama The Edge, Abang Johari berkata, rundingan tersebut berpandukan deklarasi bersama yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pada Mei 2025, yang mengiktiraf undang-undang kedua-dua pihak.
Deklarasi itu antara lain menetapkan persetujuan secara prinsip untuk membekalkan 1.2 bilion kaki padu standard gas sehari kepada Sarawak, selain menggalakkan kerjasama PETRONAS dan PETROS dalam projek pembangunan gas pada masa depan.
Persetujuan berkenaan juga bertujuan memperjelas peranan kedua-dua syarikat, dengan PETROS mengendalikan pengagihan gas domestik di Sarawak, manakala PETRONAS bertanggungjawab terhadap eksport gas asli cecair (LNG).
Bagaimanapun, perjanjian komersial muktamad yang memperincikan pembahagian tanggungjawab itu masih belum dicapai.
Abang Johari menegaskan bahawa kedua-dua syarikat perlu menghormati keputusan kerajaan masing-masing dan mencari penyelesaian berdasarkan persetujuan yang telah dicapai antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Siapa mempunyai kuasa mengawal pengagihan gas?
Pertikaian antara PETRONAS dan PETROS berpunca daripada perbezaan tafsiran mengenai pihak yang mempunyai kuasa mengawal pengagihan gas di Sarawak.
PETRONAS mempertahankan haknya berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan syarikat minyak negara itu kuasa membangunkan sumber hidrokarbon Malaysia.
Sebaliknya, Sarawak berhujah bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang telah wujud sebelum pembentukan Malaysia tidak pernah dimansuhkan dan perlu terus berkuat kuasa bersama PDA, selaras dengan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PETROS, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, dilantik sebagai agregator gas tunggal negeri itu pada Februari 2024 berdasarkan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO).
Di bawah ordinan tersebut, mana-mana pihak yang mahu membekalkan atau mengagihkan gas di Sarawak perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, PETRONAS berpendirian bahawa syarikat itu tidak memerlukan lesen negeri kerana haknya telah diberikan melalui PDA.
Pertikaian tersebut turut membawa kepada beberapa tindakan mahkamah yang melibatkan pelanggan gas di Sarawak.
Antaranya, Shell MDS, anak syarikat Shell yang telah beroperasi di Sarawak selama lebih tiga dekad, memohon mahkamah menentukan pihak yang berhak menerima pembayaran bagi gas yang dibekalkan ke kilangnya di Bintulu.
Dalam kes berasingan, PETROS enggan membuat pembayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024 atas alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen yang diperlukan di bawah undang-undang negeri.
Tindakan itu menyebabkan PETRONAS membuat tuntutan terhadap jaminan bank bernilai RM7.95 juta.
Walaupun keputusan mahkamah dalam kedua-dua kes tersebut memihak kepada PETRONAS, persoalan undang-undang berkaitan masih dibangkitkan di Mahkamah Persekutuan.
PETRONAS memfailkan petisyen pada 12 Januari 2026 bagi mencabar keabsahan 10 undang-undang Sarawak yang didakwanya bertindih dengan kuasa kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada Mac 2026, Mahkamah Persekutuan membenarkan PETRONAS meneruskan cabaran terhadap undang-undang negeri berkaitan perlombongan minyak dan pengurusan gas.
Antara undang-undang yang dipertikaikan termasuk Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak, yang melibatkan persoalan sempadan kawasan luar pesisir negeri, serta Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
Kerajaan Sarawak pula memfailkan petisyen berasingan pada 23 Februari 2026 bagi mencabar tiga undang-undang Persekutuan, iaitu PDA, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
Pada 1 Oktober 2026, seorang hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa PETRONAS perlu mengemukakan hujah terlebih dahulu, manakala persoalan sama ada isu awal yang dibangkitkan Sarawak mengenai Ordinan Perlombongan Minyak perlu didengar terlebih dahulu akan ditentukan oleh panel penuh mahkamah.
Pendengaran penuh dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 25 Januari 2027, dengan kedua-dua pihak memohon panel yang terdiri daripada sembilan hingga 11 hakim.
Walaupun kedua-dua pihak sedang bersedia menghadapi pendengaran penting berkaitan tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu, Abang Johari yakin penyelesaian di luar mahkamah dapat dicapai sebelum akhir 2026.
Wawancara The Edge bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg
The Edge: Premier, kami perlu bertanya mengenai perkara ini — PETRONAS telah membawa pertikaian berkaitan gas ke mahkamah. Bolehkah Premier memberikan perkembangan terkini?
Abang Johari: Ini adalah soal memahami undang-undang. Anda tahu, PETRONAS mengatakan kami tidak mempunyai hak untuk menjadi agregator gas. Sedangkan fungsi agregator merupakan sebahagian daripada pengagihan gas.
Kami sudah mempunyai undang-undang itu sebelum Malaysia dibentuk, bukan?
Kemudian PETRONAS mengatakan bahawa di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA), mereka mempunyai hak mutlak.
Kami mengatakan perkara itu tidak boleh berlaku kerana terdapat juga undang-undang negeri.
Jadi, apa yang kami mahu lakukan sekarang ialah mencari kompromi antara PETRONAS dan PETROS bagi pihak kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Kini terdapat sebuah jawatankuasa teknikal yang bebas untuk meneliti hujah kami serta hujah PETRONAS.
Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan di luar mahkamah kerana deklarasi bersama dengan Perdana Menteri telah menjadi prinsip panduan untuk mencapai kompromi.
The Edge: Bagaimanakah Premier dan Perdana Menteri sudah mencapai persetujuan, tetapi pertikaian ini masih berterusan?
Abang Johari: Terdapat beberapa perkara, kawasan kelabu, yang mereka tidak persetujui.
Jadi, apa yang saya dan Perdana Menteri telah persetujui ialah, baiklah, kalau begitu keadaannya, kita dapatkan pihak ketiga untuk menelitinya.
The Edge: Adakah terdapat tempoh masa yang Premier harapkan untuk menyelesaikan masalah ini?
Abang Johari: Ya, sebelum akhir tahun ini.
The Edge: Jadi, dalam tempoh dua bulan?
Abang Johari: Sekarang, kita hampir mencapainya... demi kepentingan seluruh negara.
The Edge: Nampaknya banyak rancangan Sarawak bergantung kepada PETROS. Katakanlah rundingan dengan PETRONAS tidak berjalan lancar. Apa yang akan berlaku? Adakah Premier mempunyai pelan alternatif?
Abang Johari: Tidak. Saya fikir saya hanya akan meneruskan apa yang telah kami persetujui dengan Perdana Menteri.
Maksud saya, PETRONAS tidak boleh bertindak seolah-olah ia kerajaan Persekutuan, bukan?
Anda sebuah entiti komersial. Bagaimana anda boleh lebih berkuasa daripada kerajaan?
Aih, tak bolehlah...
Dan PETROS juga tidak boleh lebih berkuasa daripada kerajaan negeri.
Persoalannya ialah bagaimana anda menyelesaikan perkara ini.
The Edge: Difahamkan bahawa dalam perjanjian antara PETROS dan PETRONAS, kerajaan negeri akan menerima kuota bekalan gas tertentu setiap tahun. Bagi baki bekalan gas pula, PETRONAS akan mempunyai hak untuk mengeksportnya.
Abang Johari: Betul. Mereka pada prinsipnya telah bersetuju untuk memberikan kami 1.2 bilion kaki padu standard gas sehari.
Kemudian kami berkata, kami bersetuju bahawa baki gas itu adalah untuk LNG (gas asli cecair) kami bagi tujuan eksport.
Tetapi kami juga memerlukan gas untuk kegunaan domestik, khususnya bagi penjanaan elektrik kami.
Jadi kami bertanya kepada mereka, dari mana anda mendapatkan gas itu?
Anda tahu, ia mungkin kelihatan baik di atas kertas, tetapi persoalannya ialah sama ada anda boleh membekalkannya atau tidak.
Itulah kebimbangan kami.
Kalau begitu keadaannya, mengapa tidak kita mempunyai sebuah entiti usaha sama antara PETROS dan PETRONAS untuk meneroka dan mengeluarkan gas, kemudian menyalurkan gas itu ke hab rendah karbon kami?
Gas itu berada di suatu kawasan, katakanlah berhampiran Natuna. Kemudian anda menyalurkannya ke Kuching, kosnya lebih rendah...
Jadi, sebab itulah kami membina infrastruktur tersebut, iaitu saluran paip gas darat, untuk masa depan.
The Edge: Bagaimanakah penerimaan terhadap kerjasama antara PETROS dan PETRONAS, iaitu entiti usaha sama yang Premier sebutkan tadi?
Abang Johari: Masih dalam perbincangan.
Sebab itulah saya katakan bahawa kami hampir sampai ke peringkat terakhir dalam menyelesaikan pertikaian PETRONAS-PETROS.






