Pengeluar antena Emits sasar raih RM15 juta menerusi IPO di Pasaran ACE pada harga 16 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluar antena Emits sasar raih RM15 juta menerusi IPO di Pasaran ACE pada harga 16 sen sesaham Image from: Pengeluar antena Emits sasar raih RM15 juta menerusi IPO di Pasaran ACE pada harga 16 sen sesaham liza06/11/2026 - 10:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – Syarikat pengeluar antena, Emits Berhad menyasarkan kutipan hasil kasar sebanyak RM15 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 16 sen sesaham menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Disember 2026.

 

Kutipan itu akan diperoleh menerusi penerbitan 93.754 juta saham baharu, manakala IPO berkenaan turut merangkumi tawaran untuk jualan sebanyak 37.502 juta saham sedia ada oleh pemegang saham syarikat.

 

Sebanyak 131.256 juta saham ditawarkan kepada pelabur, mewakili 28% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 468.769 juta saham. Permodalan pasaran Emits selepas penyenaraian dianggarkan berjumlah RM75 juta.

 

Daripada hasil kasar RM15 juta yang diperoleh melalui terbitan saham baharu, sebanyak RM6.801 juta atau 45.3% diperuntukkan bagi keperluan modal kerja, manakala RM4 juta atau 26.7% digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan.

 

Baki RM4.2 juta atau 28% pula akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Emits merupakan syarikat pegangan pelaburan yang melalui anak syarikatnya, Emits Technology Sdn Bhd, menyediakan perkhidmatan pembuatan menyeluruh bagi antena secara pengilang peralatan asal (OEM) kepada pemilik jenama, pemilik produk dan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

 

Produk syarikat merangkumi pelbagai jenis antena yang digunakan dalam peralatan komunikasi, termasuk walkie-talkie, sistem komunikasi dalam bangunan, alat penerima radio, sistem GPS serta pengimbas kod bar. Antena berkenaan turut menyokong teknologi seperti 5G, Wi-Fi, Bluetooth dan LTE.

 

Empat barisan pengeluaran disediakan untuk antena 5G

Antara rancangan pengembangan Emits ialah memperluaskan rangkaian produknya kepada pembuatan antena stesen pangkalan 5G. Bagi tujuan itu, syarikat sudah menyediakan empat barisan pengeluaran baharu di kilangnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang, dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 6,336 unit setahun.

 

Kemudahan tersebut turut dilengkapi lima bilik terlindung yang mempunyai penguji PIM bagi menjalankan ujian frekuensi radio (RF). Kos keseluruhan penyediaan empat barisan pengeluaran itu berjumlah kira-kira RM5.5 juta dan telah dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman serta hasil penerbitan saham keutamaan boleh tebus boleh tukar (RCPS).

 

Dalam perkembangan berkaitan, Emits sedang mengadakan perbincangan dengan CCI, sebuah syarikat persendirian dari Amerika Syarikat yang terlibat dalam penjualan peralatan rangkaian tanpa wayar, bagi menghasilkan antena stesen pangkalan 5G secara OEM.

 

Syarikat telah menghasilkan dan menghantar 40 unit demonstrasi antena 5G kepada CCI pada suku pertama 2026 untuk menjalani ujian kelayakan. Bagaimanapun, projek itu masih bergantung kepada keupayaan Emits memenuhi keperluan teknikal dan spesifikasi produk yang ditetapkan CCI. 

 

Draf prospektus turut menyatakan syarikat menjangkakan pengeluaran antena stesen pangkalan 5G bermula pada suku pertama 2028.

 

Peruntuk RM4 juta untuk penyelidikan dan pembangunan

Selain pengembangan produk, Emits turut merancang meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi pembelian mesin serta peralatan khusus menggunakan peruntukan RM4 juta daripada hasil IPO.

 

Syarikat juga bercadang mengambil dua jurutera tambahan bagi menyokong aktiviti R&D, termasuk kajian berkaitan polarisasi, corak kawalan frekuensi, gandaan RF, liputan isyarat serta ujian ketahanan produk dalam persekitaran mencabar.

 

Kebergantungan kepada Motorola antara risiko utama

Bagaimanapun, prospektus menyenaraikan kebergantungan kepada Motorola Group sebagai antara risiko utama perniagaan Emits. Hubungan perniagaan kedua-dua pihak bermula pada 2016 dan Motorola kekal sebagai pelanggan terbesar syarikat.

 

Sumbangan Motorola kepada hasil Emits masing-masing ialah 65.6% pada FY2023, 80.5% pada FY2024, 72.9% pada FY2025 dan 78.1% bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Jun 2026. Secara keseluruhan, lima pelanggan terbesar menyumbang antara 91.4% hingga 94.8% daripada hasil syarikat sepanjang tempoh berkenaan.

 

Hasil FY2025 susut kepada RM39.65 juta

Dari segi kewangan, Emits merekodkan hasil RM32.01 juta dan keuntungan selepas cukai RM2.17 juta bagi FY2023, sebelum meningkat kepada hasil RM40.99 juta dan keuntungan selepas cukai RM5.83 juta pada FY2024.

 

Bagaimanapun, hasil syarikat susut kepada RM39.65 juta pada FY2025, manakala keuntungan selepas cukai turun kepada RM5.20 juta. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, Emits mencatatkan hasil RM18.15 juta dan keuntungan selepas cukai RM2.07 juta.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved