
KUALA PENYU - Pertikaian membabitkan wang RM60 berakhir dengan seorang lelaki cedera di kepala dan ibu jari selepas diserang menggunakan parang di Kampung Kelansatan, di sini, Isnin lalu.
Susulan insiden, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun di lokasi kejadian dan merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek berkaitan bayaran RM60.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Penyu menahan suspek di dan merampas sebilah parang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Mangsa sudah menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Champin turut menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara baik dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan serta menyebabkan kecederaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil minuman memabukkan secara berlebihan kerana ia boleh menjejaskan pertimbangan dan meningkatkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya. - Getaran, 27 September 2026





