Pembeli PacifiCity dakwa Sabah Development Bank punca projek masih terbengkalai

24 Sep 2026 • 4:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembeli PacifiCity dakwa Sabah Development Bank punca projek masih terbengkalai Image from: Pembeli PacifiCity dakwa Sabah Development Bank punca projek masih terbengkalai liza24/09/2026 - 16:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Pembeli projek pembangunan bersepadu PacifiCity menolak alasan Sabah Development Bank (SDB) yang menyatakan projek itu masih belum dapat dihidupkan semula kerana tiada pelabur baharu yang tampil menyelamatkannya.

 

Sebaliknya, wakil pembeli, Winston Liaw mendakwa SDB sendiri menjadi punca utama usaha menyelesaikan kemelut projek berkenaan terus tersekat.

 

Katanya, beberapa pelabur pernah mendekati SDB untuk berunding bagi mengambil alih dan menyelamatkan projek itu namun usaha berkenaan akhirnya menemui jalan buntu kerana proses tersebut didakwa tersekat di pihak bank.

 

“Setakat yang kami tahu, pelabur pernah mendekati SDB untuk berunding bagi mengambil alih dan menyelamatkan projek ini, tetapi proses itu sentiasa tersekat di situ tanpa sebarang perkembangan,” katanya, lapor Daily Express.

 

Tambahnya, ketiadaan pelabur baharu bukan satu-satunya isu kerana terdapat persoalan lebih besar yang perlu dijawab SDB, termasuk berkaitan pelantikan pelikuidasi dan komunikasi dengan pembeli.

 

Pembeli persoal tindakan SDB

Liaw berkata pelikuidasi swasta yang dilantik mahkamah kira-kira dua tahun lalu atas permohonan SDB sendiri turut berdepan masalah bayaran.

 

Katanya, pelikuidasi itu beberapa kali memaklumkan dalam mesyuarat yang diadakan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah bahawa mereka tidak akan menjalankan tugas tanpa menerima bayaran.

 

Malah, menurut Liaw, pelikuidasi berkenaan pernah meminta kementerian menggunakan sebahagian daripada jaminan bank bagi projek pangsapuri Pacific Height untuk membayar yuran mereka.

 

Namun, kementerian tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana terikat dengan peraturan sedia ada.

 

“SDB sendiri yang memohon kepada mahkamah untuk melantik pelikuidasi ini. Jadi, mengapa isu bayaran kepada pelikuidasi masih tidak diselesaikan?” katanya.

 

Liaw berkata kegagalan mencari pihak yang sanggup menyelamatkan PacifiCity sehingga kini juga menunjukkan kedua-dua pihak perlu dipersoalkan mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap kemelut projek itu.

 

Beliau turut mempertikaikan kenyataan SDB bahawa bank tersebut komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembeli bagi mencari penyelesaian praktikal.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah Development Bank bersedia pulihkan semula projek terbengkalai PacifiCity

 

Pembeli dakwa SDB tidak beri kerjasama

“Kenyataan itu tidak selari dengan pengalaman pembeli kerana SDB  tidak pernah berkomunikasi secara langsung bagi membincangkan penyelesaian projek tersebut. 

 

“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sebelum ini beberapa kali mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu PacifiCity, tetapi SDB tidak menghantar wakil,” katanya.

 

Dalam satu-satunya mesyuarat yang dihadiri SDB, beliau mendakwa bank itu hanya menghantar pegawai berpangkat rendah yang tidak mempunyai kuasa membuat keputusan.

 

“Pegawai itu hanya boleh berkata mereka akan membawa perkara tersebut kembali kepada pihak atasan,” katanya.

 

Liaw berkata keadaan itu sukar difahami kerana SDB sendiri, berdasarkan kenyataannya, mempunyai tuntutan kira-kira RM300 juta dan secara tidak langsung turut terjejas akibat masalah projek berkenaan.

 

Pada masa sama, pembeli mendakwa permintaan mereka untuk bertemu SDB masih belum mendapat penyelesaian walaupun isu PacifiCity telah berlarutan sekian lama.

 

Liaw berkata pembeli juga telah memohon untuk bertemu Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, sejak beberapa bulan lalu.

 

Namun, katanya, Masidi menghantar Pembantu Menteri, Datuk Mohd Ishak Ayub, yang kemudiannya berjanji mengatur pertemuan secara bersemuka antara pembeli dengan SDB dalam tempoh seminggu.

 

Bagaimanapun, setelah sebulan berlalu, beliau berkata tiada tindakan susulan dibuat untuk mengadakan pertemuan tersebut.

 

Sementara itu, seorang lagi wakil pembeli, Constance Liew berkata pembeli PacifiCity masih bersedia bertemu Masidi dan SDB pada bila-bila masa bagi mencari penyelesaian yang sewajarnya.

 

Katanya, kelewatan berterusan hanya menyebabkan pembeli terus terperangkap dalam keadaan sukar, selain tidak memberi manfaat kepada SDB yang menyediakan pinjaman sementara bagi projek itu, pemilik tanah Sabah Civil Service Sports and Recreational Council serta Kerajaan Negeri Sabah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved