amree20/10/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt — Prestasi kewangan FoundPac Group Berhad kembali pulih berdaya saing selepas mencatatkan pertambahan hasil daripada operasi berterusan kira-kira 19.9% kepada sebanyak RM58.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26).
Pemulihan ketara itu turut disokong oleh lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) daripada operasi berterusan sebanyak 16.5% kepada RM19.52 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan naik kepada RM13.98 juta berbanding RM343,000 pada FY25.
Peningkatan prestasi pengeluar komponen kejuruteraan jitu berkenaan didorong oleh pertumbuhan mampan dalam operasi berterusan kumpulan berikutan penyusunan semula strategi perniagaan selepas pelupusan segmen kabel dan penyambung.
Berdasarkan makluman Laporan Tahunan 2026 kumpulan kepada Bursa Malaysia, margin PBT mencatatkan pengukuhan kukuh kepada 33.60% berbanding 7.44% pada FY25, manakala pendapatan asas sesaham (EPS) meningkat kepada 2.55 sen daripada 0.30 sen.
"Sejajar pemulihan prestasi berkenaan, FoundPac mengisytiharkan jumlah dividen 1.5 sen sesaham bagi FY26, membabitkan jumlah bayaran RM8.2 juta yang mewakili 58.8% daripada jumlah keuntungan bersih boleh diagihkan kepada pemilik syarikat," katanya.
Kedudukan kewangan dan kunci kira-kira kumpulan itu kekal kukuh dengan kejayaan menjana aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM20 juta, serta pegangan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM36.3 juta setakat 30 Jun 2026.

Syarikat yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang ini terus memfokuskan perniagaan terasnya dalam mereka bentuk dan mengeluarkan bahagian kejuruteraan jitu seperti pengukuh, soket ujian, penutup tangan, serta laser stencil untuk industri semikonduktor tempatan dan global.
Bagi mengurangkan risiko kenaikan tarif elektrik dan mengoptimumkan kos operasi, ia memanfaatkan sistem solar fotovolta yang menjana 242 MWh tenaga elektrik, dengan 96.7% daripada tenaga untuk operasi sendiri dan memberikan manfaat kos elektrik kasar dianggarkan RM115,577.
"Dari segi rantaian bekalan, FoundPac kekal menyokong perniagaan tempatan dengan menyalurkan 68% daripada jumlah perbelanjaan perolehan kepada pembekal domestik, di samping memperkenal Kod Etika Pembekal bagi memastikan pematuhan standard integriti," katanya.
Bagi mengukuhkan tadbir urus korporat, kumpulan sudah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 18 Mei 2026 bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang dan mencapai sasaran 100% latihan anti-rasuah untuk kesemua 127 orang pekerjanya.
Melangkah ke hadapan, ia komited menggunakan keupayaan kewangan dan kecekapan operasi bagi mendepani cabaran industri, sambil membuat persiapan pemindahan operasi ke tapak baharu untuk menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com





