amree21/10/2026 - 14:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Pecca Group Berhad mencatatkan pendapatan RM222 juta bagi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), merosot kira-kira 1.11% berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM51.8 juta.
Berdasarkan kepada Laporan Tahunan Terintegrasi 2026 yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak enam sen sesaham, dengan pembayaran berjumlah RM43.5 juta atau 83.9% daripada keuntungan bersih.
Ujarnya, prestasi sederhana itu dicatatkan ketika industri automotif domestik berdepan banyak cabaran, dengan strategi kepelbagaian perniagaan membantu kumpulan dalam mengimbangi keadaan pasaran menerusi segmen antarabangsa dan bukan automotif.
"Dari segi kedudukan kewangan pula, aliran tunai operasi Pecca meningkat kira-kira 27.8% kepada sebanyak RM60.8 juta berbanding hanya RM47.6 juta dicatatkan syarikat pada tahun kewangan yang sebelumnya," menurut maklumat kumpulan tersebut.
Jelasnya, syarikat berkenaan turut disokong dengan rekod tunai bersih RM101.8 juta serta rizab tunai dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM120.4 juta, yang boleh menyokong keperluan operasi dan rancangan pengembangan perniagaan.
Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan syarikat dan sedekad penyenaraiannya di Bursa Malaysia, Pecca turut memperluas kepakaran produk 'upholsteri' atau balutan kerusi kepada sektor bukan automotif, termasuk penerbangan dan pengangkutan rel.

Antara pencapaiannya ialah penghantaran pertama upholsteri kulit premium untuk gerabak kereta api kelas pertama bagi sebuah operator utama di Semenanjung Malaysia pada Jun 2026, selain meraih akreditasi berkaitan penyenggaraan dan pembaikan kabin pesawat.
"Di Indonesia, anak syarikat Pecca, PT Pecca Gemilang Indonesia, berjaya memperoleh akreditasi IATF 16949:2016, yang menyokong usahanya untuk mudah membida kontrak pengeluar peralatan asal (OEM) dalam industri automotif tempatan," jelas kumpulan berkenaan.
Bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran dan merebut peluang pasaran, kumpulan itu turut membuat persediaan di Selangor menerusi pembentukan fasiliti pembuatan baharu di Serendah, serta mengendalikan barisan pemasangan tempat duduk di Subang.
Usaha tersebut katanya, dijangka berupaya menyokong pengembangan syarikat tersebut dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dan teknologi kabin pintar yang semakin mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan di pasaran domestic serta antarabangsa.
Secara keseluruhan, Pecca memberi tumpuan kepada perluasan pasaran dan kepelbagaian produk bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor automotif semata-mata, di samping mengekalkan prestasi kewangan dan pulangan kepada pemegang saham. - DagangNews.com






