HI Mobility berpotensi catat pertumbuhan positif dipacu lonjakan projek infrastruktur di Johor - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2025 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HI Mobility berpotensi catat pertumbuhan positif dipacu lonjakan projek infrastruktur di Johor - CIMB Securities

image is not available

30/09/2025 - 10:59

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Sept - HI Mobility Berhad berpotensi mencatatkan pertumbuhan positif dipacu kedudukannya sebagai antara penerima manfaat utama daripada lonjakan projek infrastruktur berskala besar di Johor, kata CIMB Securities.

Katanya, kumpulan itu dijangka meraih manfaat darupada projek pemangkin utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

“Pembangunan ini dijangka memacu pertumbuhan berterusan dalam aliran perjalanan harian, pelancongan, dan logistik.

"RTS Link sahaja berpotensi menyumbang sehingga RM177 juta setahun daripada hasil perkhidmatan pengantara bermula tahun kewangan 2028 (FY28), yang masih belum dimasukkan ke dalam unjuran kami.

“Kedudukan kukuh HI Mobility di Johor meletakkannya dalam situasi terbaik untuk menangkap pertumbuhan penumpang dan memenuhi keperluan mobiliti last-mile yang semakin berkembang,” katanya dalam satu nota kajian.

CIMB Securities berkata, keputusan separuh pertama FY26 syarikat itu melebihi jangkaan, apabila mencapai 55% daripada unjuran keuntungan setahun penuh, didorong pertumbuhan kukuh aliran penumpang rentas sempadan dan margin yang berdaya tahan.

Keuntungan bersih teras meningkat 11.6% suku ke suku kepada RM14.4 juta, manakala hasil melonjak 7.5%.

Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak satu sen sesaham, menjadikan jumlah dividen separuh pertama FY26 kepada dua sen, lebih tinggi daripada unjuran setahun penuh iaitu 2.5 sen.

Susulan prestasi kukuh tersebut, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) antara 6% hingga 8% dan mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.90 sesaham. - DagangNews.com

standard