Pertumbuhan Pekat kembali dipacu perniagaan sistem perlindungan kilat - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan Pekat kembali dipacu perniagaan sistem perlindungan kilat - MBSB Research Image from: Pertumbuhan Pekat kembali dipacu perniagaan sistem perlindungan kilat - MBSB Research amree08/09/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept — Perniagaan pembumian dan perlindungan kilat (ELP) yang menjadi antara bidang asal Pekat Group Berhad, kini muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan baharu kumpulan, kata MBSB Research.

 

Ia menyifatkan kumpulan itu masih berpotensi dalam sektor mekanikal, elektrikal dan paip (MEP), selepas meraih tiga subkontrak ELP yang berjumlah RM57.2 juta bagi sebuah projek pusat data (DC) di Johor.

 

Menurutnya, perkembangan itu menarik kerana kumpulan tersebut bermula dalam bidang ELP pada 1999 sebelum berkembang ke perniagaan solar, dan kini menyaksikan ELP kembali menjadi komponen penting.

 

"Malah, saiz buku tempahan ELP diperoleh Pekat ketika ini hampir menyamai perniagaan peralatan suis elektriknya dan mengatasi solar dari segi nilai tempahan," jelas MBSB Research dalam analisisnya.

 

Firma penyelidikan itu turut merujuk tiga tender ELP yang dimeterai pada bulan yang berbeza dan percaya keadaan tersebut berkemungkinan berpunca daripada kelewatan pemuktamadan perjanjian rasmi.

 

Dengan perkembangan terbaharu itu, buku tempahan disatukan kini berjumlah RM797 juta, diterajui EPE Switchgear (M) Sdn Bhd dengan RM308 juta, diikuti ELP (RM298 juta) dan bahagian solar (RM151 juta).

 

MBSB Research bagaimanapun tidak memasukkan tiga subkontrak baharu dalam anggaran buku tempahan Pekat, kerana percaya nilai tender itu mungkin sudah pun diambil kira dalam jumlah semasa.

 

Pekat_DagangNews2026

 

"Prospek pengisian semula kekal positif bagi semua segmen, dengan perniagaan solar berskala besar (LSS) dijangka meraih banyak peluang manakala ELP berpotensi memanfaatkan projek DC," tambahnya.

 

EPE Switchgear turut dilihat ada ruang pertumbuhan bagi menyokong keperluan prasarana elektrik bagi projek besar, dan kini bersaing dengan empat syarikat untuk kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Ujarnya, kepelbagaian perniagaan membezakan Pekat daripada kebanyakan syarikat lain, kerana turut ada pendedahan kepada pembuatan peralatan serta ELP yang mendapat manfaat daripada pembangunan DC.

 

Dari sudut penilaian, MBSB Research mengekalkan unjuran hasil dan tidak mengubah saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.46 berdasarkan pendapata sesaham (EPS) FY27 sebanyak 8.8 sen.

 

"Kami berpandangan premium penilaian adalah wajar kerana Pekat memiliki model perniagaan yang lebih pelbagai, dengan pertumbuhan solar, ELP dan peralatan suis elektrik bergerak seiring," katanya.

 

Lonjakan projek DC kini berpotensi menjadikan ELP sebagai 'kuda hitam' kumpulan berkenaan, sekali gus membuka ruang pertumbuhan yang lebih besar di luar perniagaan solar terasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved