
PETALING JAYA: Pertumbuhan sektor pembuatan dijangka kekal positif dalam dua suku akan datang, namun pada kadar yang lebih sederhana berbanding separuh pertama 2026, kata TA Securities Holdings Berhad.
Ahli Ekonominya, Farid Burhanuddin berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) mencatatkan purata 50.4 bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, meningkat daripada 49.2 dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, ini menunjukkan keadaan sektor pembuatan secara keseluruhannya stabil pada tahun ini, dengan sektor tersebut kekal sekitar paras yang memisahkan antara pengembangan dan penguncupan, walaupun terdapat turun naik dari bulan ke bulan.
“Pengilang Malaysia kekal optimistik bahawa pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang, disokong terutamanya oleh jangkaan terhadap peningkatan permintaan.
“Bagaimanapun, tahap sentimen positif kekal rendah berbanding rekod sejarah dan hampir tidak berubah daripada Julai, menunjukkan firma masih mengambil pendekatan berhati-hati terhadap persekitaran operasi dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, PMI Pembuatan Malaysia S&P Global yang diselaraskan mengikut musim menurun kepada 50.2 pada Ogos daripada 50.7 pada Julai, namun kekal sedikit melepasi paras neutral 50.0.
Menurutnya, bacaan terbaharu itu menunjukkan hanya peningkatan kecil dalam keadaan operasi sektor pembuatan pada pertengahan suku ketiga 2026, selain mencatatkan pertumbuhan paling lemah dalam siri pengembangan semasa.
“Bacaan PMI terbaharu masih konsisten dengan pertumbuhan berterusan ekonomi dan sektor pembuatan Malaysia pada suku ketiga, walaupun kadar pertumbuhan dijangka sederhana.
“PMI mencatat purata 50.5 bagi Julai hingga Ogos, sedikit lebih rendah berbanding purata 50.7 pada suku kedua 2026, menunjukkan keadaan sektor pembuatan masih menyokong aktiviti ekonomi tetapi telah kehilangan sedikit momentum.
“Perkembangan positif ialah pesanan baharu terus berkembang dan guna tenaga kembali meningkat, sekali gus memberikan sedikit sokongan kepada aktiviti dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengeluaran yang lebih lemah, aktiviti pembelian yang merosot serta keyakinan perniagaan yang sederhana menunjukkan pertumbuhan dalam tempoh terdekat akan lebih terkawal.
“Kesan asas juga dijangka menjadi kurang memihak pada separuh kedua, memandangkan pertumbuhan sektor pembuatan telah meningkat kepada 5.1 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2025, berbanding 3.9 peratus pada separuh pertama 2025,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Ekonomi, Phillip Research Sdn. Bhd., Patrick Chong Yeong Yee berkata, sentimen dalam kalangan pengeluar Malaysia bertambah baik, dengan Tinjauan Kecenderungan Perniagaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan indikator keyakinan sektor pembuatan melonjak kepada 8.2 pada suku ketiga 26, berbanding -1.6 pada suku kedua 2026.
Katanya, kebanyakan pengeluar kini lebih optimistik terhadap prospek pengeluaran pada suku ketiga 2026, manakala peningkatan jumlah pesanan daripada pasaran domestik dan eksport turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan tersebut.
“Perkembangan itu sebahagiannya mencerminkan keupayaan pengeluar menyesuaikan operasi dengan peningkatan risiko geopolitik, sementara keadaan ekonomi global yang stabil turut menyokong sentimen perniagaan.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan bahawa sektor pembuatan akan kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat,” jelasnya. – UTUSAN
The post Pertumbuhan sektor pembuatan kekal positif tapi sederhana pada separuh kedua appeared first on Utusan Malaysia.




