Sektor pembuatan kekal berkembang, namun momentum semakin perlahan

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sektor pembuatan kekal berkembang, namun momentum semakin perlahan

PETALING JAYA: Sektor pembuatan Malaysia terus berkembang pada Ogos, namun momentum pertumbuhan semakin perlahan apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia susut kepada 50.2 mata.

Bacaan itu bagaimanapun kekal melepasi paras neutral 50 mata yang membezakan antara pertumbuhan dan penguncupan, sekali gus menandakan sektor pembuatan berkembang untuk bulan ketiga berturut-turut.

S&P Global berkata, PMI Malaysia pada Ogos turun daripada 50.7 mata masing-masing pada Jun dan Julai, menunjukkan peningkatan dalam kesihatan sektor pembuatan hanya pada kadar kecil dan merupakan yang paling lemah sepanjang tempoh pertumbuhan tiga bulan berkenaan.

Katanya, hubungan sejarah antara PMI dengan data rasmi menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta pengeluaran sektor pembuatan dijangka bertambah baik pada suku ketiga 2026.

“Pengeluar Malaysia mencatatkan peningkatan pesanan baharu untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Bagaimanapun, pertumbuhan itu hanya marginal dan merupakan yang paling lemah dalam siri pertumbuhan semasa berikutan kelembapan pesanan baharu yang secara umumnya selari dengan faktor yang membebankan pengeluaran,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pertumbuhan pesanan baharu yang berterusan mendorong sebahagian firma meningkatkan pengambilan pekerja.

S&P Global berkata, guna tenaga sektor pembuatan meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan pada Ogos, dengan syarikat mengambil pekerja sepenuh masa dan separuh masa.

Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Maryam Baluch berkata, pengeluar Malaysia masih berdepan keadaan permintaan yang sederhana, menyebabkan trend operasi dalam sektor itu kekal bercampur.

“Guna tenaga meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan, manakala aktiviti pembelian merosot buat kali pertama dalam tempoh lima bulan apabila firma menggunakan inventori bagi memenuhi keperluan permintaan,” katanya.

Mengulas prospek, beliau berkata tahap keyakinan pengeluar kekal sederhana, menunjukkan keadaan mencabar ketika ini berkemungkinan berterusan sepanjang tahun akan datang.

Bagaimanapun, katanya, tekanan harga yang semakin reda boleh memberi ruang kepada firma untuk menyokong pertumbuhan permintaan dan seterusnya meningkatkan pengeluaran.

Sementara itu, pengeluar Malaysia terus berdepan tempoh penghantaran input yang lebih panjang, dengan cuaca buruk, kekurangan stok dan kesesakan pelabuhan menjadi antara punca utama kelewatan.

Namun, S&P Global berkata, tahap kelewatan itu hanya kecil dan merupakan yang terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Dari sudut harga pula, kos input dan caj output meningkat secara sederhana pada Ogos, manakala kadar inflasi terus mereda.

“Kadar peningkatan harga adalah yang paling lemah dalam tempoh enam bulan dan kekal rendah mengikut piawaian sejarah.

“Firma yang menaikkan harga mengaitkannya dengan peningkatan kos bahan api dan bahan mentah, yang kemudiannya sering dipindahkan kepada pelanggan,” katanya.

S&P Global berkata, pengeluar Malaysia secara keseluruhannya masih yakin pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Bagaimanapun, sentimen positif kekal lemah mengikut piawaian sejarah dan tidak banyak berubah berbanding Julai.

Tahap keyakinan itu secara umumnya didorong harapan bahawa permintaan akan terus bertambah baik. – UTUSAN

The post Sektor pembuatan kekal berkembang, namun momentum semakin perlahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved