UPSI akan hubungi Lovely, Insya-Allah kita bantu – Zambry

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 1:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UPSI akan hubungi Lovely, Insya-Allah kita bantu – Zambry

PETALING JAYA – Nasib pelajar cemerlang, Lovely Suzana Augustine yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Zambry menerusi ruangan komen di Facebook Kosmo Online! hari ini memaklumkan, pihak UPSI akan menghubungi pelajar tersebut bagi menghulurkan bantuan.

“Insya-Allah kita bantu. Pihak UPSI akan hubungi pelajar,” katanya ringkas.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Lovely yang merupakan anak pasangan berketurunan Kadazan-Siam memerlukan bantuan sebanyak RM2,232.35 bagi membolehkan remaja itu mendaftar pengajian di UPSI, Tanjung Malim, Perak pada 12 September ini.

Lovely yang memperoleh keputusan 4A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ditawarkan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian di UPSI.

Remaja itu merupakan anak bongsu daripada empat beradik, manakala bapanya yang juga bekas tentera berketurunan Kadazan meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017.

Ibunya, Mek Kenui yang berketurunan Siam bekerja sebagai tukang cuci sekolah dengan pendapatan RM800 sebulan bagi menyara keluarga selepas kematian suami.

Selain wang pendaftaran, Lovely turut memerlukan sebuah komputer riba, kelengkapan pengajian serta keperluan diri bagi memulakan kehidupan sebagai mahasiswa. – KOSMO! ONLINE

The post UPSI akan hubungi Lovely, Insya-Allah kita bantu – Zambry appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved