Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tampil menawarkan bantuan kepada seorang pelajar perempuan daripada keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Foto arkib: Bernama
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi ruangan komen pada hantaran Facebook pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 3rd Force Pasir Mas, yang memohon bantuan orang ramai bagi membolehkan pelajar berkenaan meneruskan pengajian.
“InsyaAllah kita akan bantu. Pihak UPSI akan terus hubungi pelajar,” tulisnya pada Ahad.

Hantaran yang dimuat naik 3rd Force Pasir Mas pada Ahad itu berkongsi kisah Lovely Sabana Augustine, anak bongsu daripada empat beradik yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian di UPSI.

Lovely merupakan anak kepada mendiang bekas anggota tentera berketurunan Kadazan dan ibunya, Mek Kenui yang berketurunan Siam serta beragama Buddha.
Menurut 3rd Force Pasir Mas, bapanya meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017 sekali gus menyebabkan ibunya menjadi tulang belakang keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci sekolah dan memperoleh pendapatan sekitar RM800 sebulan.
“Dalam keadaan serba terbatas, Lovely tidak pernah berputus asa mengejar impian.
“Hasil usaha dan kesungguhannya, Lovely berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM dan kini menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UPSI,” katanya.
3rd Force Pasir Mas berkata, Mek Kenui turut menjaga tempat letak kereta di sebuah masjid pada setiap Jumaat ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat selain menjadi anggota RELA.

Tiga abang Lovely pula masing-masing bekerja sebagai jurujual pasar raya, pembantu kedai dan pekerja kampung namun keadaan kewangan keluarga masih serba terbatas.
Lovely dijadualkan mendaftar di UPSI pada 12 September ini dan memerlukan RM2,232.35 bagi bayaran pendaftaran.
Selain itu, gadis tersebut turut memerlukan sebuah laptop, kelengkapan pengajian serta keperluan diri untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

Jelas 3rd Force Pasir Mas, keluarga Lovely berdepan kesukaran untuk menyediakan keperluan berkenaan berdasarkan pendapatan yang ada.
“Mek Kenui mengakui dia kini agak buntu memikirkan bagaimana untuk menyediakan keperluan tersebut dengan pendapatan yang ada.
“Di sinilah kita boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan Lovely,” ujarnya.
NGO itu turut mengajak orang ramai menghulurkan bantuan tanpa mengira jumlah sumbangan bagi membantu Lovely meneruskan pengajian dan merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik.
“Walaupun kita berlainan bangsa dan agama, kita tetap berkongsi satu perkara, kita semua rakyat Malaysia.
“Kami percaya, masih ramai insan baik di luar sana yang sudi menghulurkan sedikit bantuan agar Lovely dapat melangkah ke UPSI, meneruskan pengajiannya dan suatu hari nanti mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik,” katanya.
Sumber: Facebook 3rd Force Pasir Mas





