Peruntukan ahli Parlimen perlu disalur secara adil, tidak harus jadi alat politik kerajaan - Ronald Kiandee

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peruntukan ahli Parlimen perlu disalur secara adil, tidak harus jadi alat politik kerajaan - Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

SHAH ALAM - Peruntukan ahli Parlimen tidak seharusnya dijadikan instrumen politik kerajaan yang boleh diberikan atau dinafikan berdasarkan pihak yang memegang tampuk pemerintahan.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia perlu menjadi satu hak yang tertakluk kepada peraturan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Menurutnya, jika benar reformasi yang dibawa adalah berasaskan prinsip dan bukan kepentingan politik, maka inilah masanya kerajaan mengambil langkah tuntas untuk berbuat demikian.

"Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik. Prinsipnya mudah, peruntukan kepada kawasan Parlimen bukanlah milik peribadi seseorang ahli Parlimen.

"Sebaliknya, ia adalah wang rakyat yang mesti digunakan untuk kepentingan rakyat dan disalurkan dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan kepada semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti atau kedudukan politik wakil rakyat.

"Jadi, institusikan mekanismenya melalui undang-undang supaya keadilan tidak bergantung kepada siapa yang menjadi kerajaan dan siapa yang menjadi pembangkang," katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.

Tambahnya, isu ini bukanlah baharu memandangkan pihak pembangkang telah menuntut agar peruntukan yang adil diberikan kepada semua ahli Parlimen sejak empat tahun lalu.

Jelas Ronald, beliau sendiri bersama rakan-rakan ahli Parlimen Pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) telah membawa perkara ini ke Parlimen.

"Kami mendesak supaya penyaluran peruntukan ini diinstitusikan melalui satu mekanisme yang adil, jelas dan telus, serta tidak bergantung kepada budi bicara kerajaan atau pertimbangan kepentingan politik semata-mata.

"Namun, tuntutan dan desakan ahli Parlimen Pembangkang daripada PN sebelum ini bukan sahaja tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

"Malah perkara ini dibiarkan berlarutan selama empat tahun dan disambut dengan pelbagai tohmahan serta retorik politik," ujarnya.

Beliau memberitahu, akhirnya isu itu kini datang daripada Ahli Parlimen Kerajaan sendiri, termasuk seorang anggota Jemaah Menteri dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri.

Ronald berkata, apabila suara yang sama datang daripada dalam kerajaan sendiri maka ia seharusnya diterjemahkan kepada satu keputusan dan tindakan yang nyata.

"Sekiranya suara ahli Parlimen Kerajaan sendiri ini juga tidak berhasil membawa perubahan, maka rakyat berhak menilai sama ada agenda reformasi yang sering dilaungkan benar-benar berasaskan prinsip, atau sekadar slogan yang berubah mengikut kedudukan politik," ujarnya.

Beliau turut menyeru ahli Parlimen Kerajaan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk turut menyatakan pendirian mereka secara terbuka.

"Saya dengan ini mengulangi tuntutan yang telah saya kemukakan sejak beberapa tahun lalu agar Kerajaan menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen Pembangkang secara adil dengan menginstitusikan mekanisme dan ketetapannya melalui satu Rang Undang-Undang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved