SHAH ALAM - Peruntukan kepada ahli Parlimen tidak wajar diberikan secara sama rata, sebaliknya perlu mengambil kira saiz kawasan, jumlah pengundi dan keperluan pembangunan kawasan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, perbezaan ketara dapat dilihat apabila kawasannya mempunyai lebih 300,000 pengundi setakat tahun 2022 berbanding Hulu Langat (160,000), Putrajaya (42,000) dan Puchong yang mempunyai 150,000 pengundi.
"Tambahan pula, Bangi mempunyai lebih daripada 700,000 penduduk. Jadi, saya sendiri secara praktikalnya perlu berkhidmat kepada semua penduduk, bukan sekadar 300,000 itu.
"Hal ini kerana tidak boleh mendiskriminasikan atau membezakan antara pengundi dan bukan pengundi di kawasan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Syahredzan berkata, sebarang mekanisme pemberian dana kawasan Parlimen perlu menjamin bukan sahaja kesaksamaan dari segi akses, malah keadilan berdasarkan saiz peruntukan yang disesuaikan dengan jumlah pengundi.
"Peruntukan bagi pusat khidmat dan penggajian kakitangan juga perlu mengambil kira faktor lokasi, memandangkan kos penyelenggaraan pejabat dan gaji kakitangan di sesetengah wilayah adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
"Pada masa yang sama, dana pembangunan wajar mengambil kira hakikat bahawa kawasan luar bandar memerlukan lebih banyak projek infrastruktur berbanding kawasan bandar," ujarnya lagi.
Beliau menegaskan perlu ada undang-undang untuk mengkanunkan peruntukan kewangan bagi semua ahli Parlimen tanpa mengira jalur politik.
"Undang-undang tersebut bukan sahaja perlu menjamin kesaksamaan dari segi akses kepada dana kawasan Parlimen, tetapi juga saksama dan berkadaran dengan jumlah pengundi serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap kawasan Parlimen," katanya.
Naib Pengerusi DAP itu berkata, partinya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi merealisasikan undang-undang sedemikian.
"Ini bukan untuk ahli Parlimen yang datang dan pergi, tetapi bagi menjamin keadilan buat para pengundi, terutama sekali di kawasan Parlimen bersaiz mega seperti Bangi.
"Jika tidak, ia tidak adil bagi pengundi di kawasan ini yang 'berkongsi' peruntukan dengan begitu ramai yang lain, berbanding kawasan yang lebih kecil," katanya.






