Peruntukan KPKM akan ditambah pada Belanjawan 2027 – PM

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 1:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peruntukan KPKM akan ditambah pada Belanjawan 2027 – PM

SERDANG – Peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dijangka ditambah dalam Belanjawan 2027 susulan prestasi memberangsangkan kementerian itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut susulan langkah kerajaan untuk terus memberi fokus terhadap sektor pertanian dan keterjaminan makanan bagi memastikan pengeluaran makanan negara dapat diperkukuh.

“Saya fikir dalam rangka Belanjawan Negara Oktober ini, sekadar perbincangan awal dalam apa yang disebut beberapa tonggak dan ikhtiar baharu. Kementerian Pertanian masih dalam fokus dan saya percaya peruntukan ditambah sesuai dengan prestasi yang memberangsangkan.

“Eksport nanas kecil sekarang besar. Pengeluaran bawang yang hampir tiada sekarang sudah berkembang. Hubungan antarabangsa, import dan eksport meningkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Menurut Anwar, pertambahan peruntukan penting bagi memastikan pelbagai agenda dan perancangan kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain meningkatkan kesejahteraan golongan sasar termasuk petani, pesawah serta nelayan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peningkatan peruntukan perlu disusuli tatakelola yang baik supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

“Sebab itulah saya bangga dengan prestasi kementerian dalam menguruskan soal tatakelola. Belanja banyak itu mesti diuruskan dengan baik. Peruntukan boleh ditambah, tetapi kalau bocor dan tiris, yang terdera itu nelayan, petani dan pesawah,” katanya.

Beliau mengambil contoh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang disifatkan antara estet perladangan terbesar dunia, namun pulangan kepada peneroka bergantung kepada tahap pengurusan.

“Kalau diurus dengan baik, pulangannya kepada peneroka. Tetapi kalau teruk, yang ditimpa malapetaka itu adalah kepada peneroka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Peruntukan KPKM akan ditambah pada Belanjawan 2027 – PM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved