Boleh tambah peruntukan tetapi pengurusan dana awam mesti telus – PM 

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 1:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Boleh tambah peruntukan tetapi pengurusan dana awam mesti telus – PM 

SERDANG: Peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) boleh ditambah, namun pengurusan dana awam mesti dilaksanakan dengan teliti dan telus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau tiada masalah untuk meningkatkan peruntukan kepada KPKM kerana ia akan memberi manfaat langsung kepada petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan.

Bagaimanapun katanya, peningkatan peruntukan itu perlu disertai tadbir urus yang baik bagi memastikan dana berkenaan digunakan secara berkesan.

“Di pihak kerajaan, saya tidak mempunyai masalah sama sekali untuk meningkatkan peruntukan bantuan kepada KPKM kerana ia akan memberi manfaat secara langsung kepada petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan.

“Tetapi kalau bocor dan tiris, yang terdera nelayan, petani dan pesawah.  Sebagai contoh Felda, di antara estet perladangan terbesar dunia. Kalau diurus dengan baik, pulangannya kepada peneroka. Tetapi kalau teruk, yang ditimpa malapetaka itu adalah peneroka,” katanya merasmikan penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Menurut Anwar, pertambahan peruntukan KPKM penting bagi memastikan pelbagai agenda dan perancangan kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, ia sekali gus membolehkan usaha memperkukuhkan pengeluaran makanan negara serta meningkatkan kesejahteraan golongan sasar termasuk petani, pesawah dan nelayan terus dipergiatkan.

Dalam pada itu, mengulas siasatan terhadap beberapa institusi termasuk Tabung Haji (TH), Perdana Menteri berkata, tindakan lanjut termasuk pendakwaan, diputuskan oleh agensi penguatkuasaan.

“Setiap dakwaan itu siasatan bukan (oleh) saya, tetapi badan penguatkuasaan yang diputuskan, mendakwa itu Peguam Negara dan dia ada pasukan meneliti setiap kes. Yang hukum itu hakim,” jelasnya. 

Katanya, perkara itu juga membabitkan kelewatan pengedaran baja di Kedah yang menyebabkan pesawah menjadi mangsa, dan ia memerlukan tindakan untuk disiasat.

“Mengenai soal pengedaran baja sawah di Kedah, kita lihat kelewatan sekali lagi menjadi mangsa pesawah. Mereka bangkit marah, ada memo bantahan kepada saya.

“Jadi kita kena cari balik punca syarikat mana diberi amanah, kenapa tiada tindakan terhadap mereka?

“Saya kata kalau syarikat ini ulangi tindakan itu, batalkan. Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa. Kalau perlu hadapkan ke mahkamah, kaji balik proses. Ini hal yang tidak boleh diizinkan,” katanya. – UTUSAN 

The post Boleh tambah peruntukan tetapi pengurusan dana awam mesti telus – PM  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved