'Peruntukan KPKM boleh tambah, asal tiada ketirisan dan salah urus' - Anwar

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 2:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Peruntukan KPKM boleh tambah, asal tiada ketirisan dan salah urus' - Anwar
Anwar melawat pameran dan reruai pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Ahad. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SERDANG- Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), namun aspek tatakelola perlu diberi keutamaan bagi memastikan peruntukan itu diuruskan dengan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun bicara tentang perkembangan semasa yang menuntut perubahan, KPKM masih merupakan tonggaknya.

"Kerajaan Madani memang memberikan tumpuan khas kepada kegiatan dan perkembangan program kementerian ini dan apa yang digesa oleh saudara Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, saya fikir dalam merangka Belanjawan Negara bulan Oktober ini, sekadar perbincangan awal kita, dalam apa yang saya sebutkan tadi beberapa tonggak dan ikhtiar baharu, kementerian dan program pertanian ini masih merupakan fokus.

"Saya percaya peruntukan itu tentunya harus ditambah sesuai dengan prestasi yang membanggakan dan ini benar, lihat kepada kenyataan-kenyataan eksport saya bincang tadi, eksport nanas yang dulu kecil sekarang sudah besar. Production pengeluaran bawang yang hampir tidak ada dahulunya, sekarang sudah berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menambah peruntukan tetapi dalam Kerajaan Madani ini mula dengan menekankan soal tatakelola, soal governance kerana belanja yang banyak itu mesti diurus dengan baik dan kita tidak ada pilihan.

Ujarnya, sekiranya ingin menyelamatkan nasib petani, pesawah, peniaga, harus pastikan pengurusan tersebut baik.

"Belanja boleh bertambah, peruntukan boleh bertambah tetapi kalau bocor, tiris yang terdera itu petani, nelayan dan pesawah.

"Kadang-kadang tidak faham, bila kita bicara soal tatakelola, soal rasuah, soal sakau, ia hanya melibatkan orang atasan. Betul, tetapi yang menjadi mangsa itu orang bawah. Saya tidak mahu singgung Tabung Haji, tapi kita ambil contoh Felda.

"Ini soal pertanian, soal perladangan, antara yang kita banggakan, estet perladangan terbesar dunia. Kalau diurus baik, pulangannya itu kepada peneroka. Kalau urusannya teruk, yang menimpa malapetakanya, sengsaranya, juga peneroka. Jadi jangan pandang remeh usaha kita betulkan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved