
PETALING JAYA: Universiti bukan satu-satunya laluan untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kerjaya, sebaliknya anak muda perlu melihat pelbagai pilihan pendidikan dan kemahiran yang tersedia bagi membina masa hadapan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan tidak mendapat tawaran ke universiti awam tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan atau pengakhiran kepada impian seseorang.
Beliau berkata, seramai 25,783 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara yang tidak mendapat tawaran memasuki 20 universiti awam bagi sesi akademik 2026/2027 masih mempunyai pelbagai laluan untuk meneruskan pendidikan dan membina kerjaya.
“Selama bertahun-tahun, masyarakat sering meletakkan universiti sebagai satu-satunya simbol kejayaan akademik dan kerjaya. Hakikatnya, ekonomi moden memerlukan lebih daripada sekadar graduan universiti.
“Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi berasaskan teknologi, automasi, digitalisasi dan industri bernilai tinggi. Dalam persekitaran ini, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran teknikal semakin meningkat dengan ketara.
“Sebab itulah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai pilihan yang setanding, bukannya pilihan kedua,” katanya mengulas keputusan kemasukan ke universiti awam bagi sesi akademik 2026/2027.
Daripada 107,875 permohonan yang diterima menerusi sistem UPUOnline, seramai 82,092 calon atau 76.1 peratus berjaya menerima tawaran program ijazah sarjana muda, manakala 25,783 calon tidak mendapat tawaran.
Menurut Mas Ermieyati, masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa universiti merupakan satu-satunya simbol kejayaan akademik dan kerjaya.
Beliau berkata, statistik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan graduan politeknik dan kolej komuniti masing-masing mencatatkan kadar pekerjaan sebanyak 98.8 peratus pada 2024, berbanding 94.9 peratus bagi graduan universiti awam.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pasaran pekerjaan kini turut menilai kemahiran dan kompetensi, selain kelayakan akademik.
“Majikan sedang mencari kemahiran. Industri memerlukan individu yang mampu mengendalikan teknologi, menyelenggara sistem, mengoperasikan mesin berteknologi tinggi dan membantu syarikat meningkatkan produktiviti.
“Dalam banyak keadaan, graduan TVET memasuki pasaran kerja lebih awal kerana kemahiran yang diperoleh adalah selari dengan keperluan industri semasa,” katanya.
Menurutnya, terdapat pelbagai institusi yang menawarkan laluan TVET termasuk politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Latihan Perindustrian (ILP), ADTEC dan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).
Katanya, peluang kerjaya dalam bidang kemahiran juga semakin luas susulan perkembangan industri semikonduktor, pusat data, kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas serta automasi industri.
Mas Ermieyati berkata, data terbaru menunjukkan lebih 343,000 peluang pekerjaan berkaitan TVET diwujudkan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, dengan purata gaji bulanan sekitar RM3,658.
“Ini membuktikan laluan kemahiran bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang luas, malah berpotensi memberikan pendapatan yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata, calon yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam supaya tidak menganggap keputusan tersebut sebagai penentu masa hadapan mereka.
“Jangan sesekali menganggap diri anda gagal. Anda mungkin tidak memperoleh laluan yang dirancang, tetapi masih mempunyai peluang yang sangat luas untuk membina masa hadapan yang cemerlang.
“Jangan biarkan satu keputusan menentukan nilai diri anda atau satu kegagalan memadamkan impian yang telah dibina selama ini,” katanya. – UTUSAN
The post Universiti bukan satu-satunya laluan kejayaan – Mas Ermieyati appeared first on Utusan Malaysia.





