Peruntukan Parlimen perlu ikut saiz kawasan, bukan sama rata

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 11:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peruntukan Parlimen perlu ikut saiz kawasan, bukan sama rata

PETALING JAYA: Peruntukan kepada Ahli Parlimen perlu mengambil kira saiz kawasan serta jumlah pengundi bagi memastikan pengagihannya lebih adil.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, malah pengangihan peruntukan itu perlu dibuat dalam bentuk undang-undang bagi melindungi hak pengundi.

Beliau memberi contoh Parlimen Bangi yang mempunyai lebih 300,000 pengundi pada 2022 dan jumlah itu berkemungkinan besar telah meningkat sejak beberapa tahun ke belakangan ini.

“Daripada segi jumlah pengundi berdaftar, Bangi adalah kira-kira tiga kali ganda lebih besar berbanding purata kebangsaan bagi sesebuah kawasan Parlimen.

“Mari kita lihat kawasan jiran Bangi, Hulu Langat mempunyai sekitar 160,000 pengundi, Putrajaya mempunyai 42,000 pengundi, manakala Puchong mempunyai kira-kira 150,000 pengundi.

“Saya sendiri di Parlimen Bangi secara praktikalnya perlu berkhidmat kepada 700,000 penduduk, bukan sekadar 300,000 kerana saya tidak boleh mendiskriminasikan antara pengundi dan bukan pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sebarang perbincangan mengenai dana kawasan Parlimen bukan sahaja mesti menjamin kesaksamaan dari segi akses, malah keadilan dari segi saiz peruntukan yang disediakan berasaskan parameter seperti jumlah pengundi.

“Peruntukan bagi pusat khidmat dan penggajian kakitangan juga perlu mengambil kira faktor lokasi, memandangkan kos penyelenggaraan pejabat dan gaji kakitangan di sesetengah wilayah adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain,” katanya.

Namun begitu, beliau menyokong peruntukan kepada semua Ahli Parlimen perlu diagihkan tanpa mengira jalur politik.

Pada masa yang sama, katanya, dana pembangunan wajar mengambil kira hakikat bahawa kawasan luar bandar memerlukan lebih banyak projek infrastruktur berbanding kawasan bandar.

“Perlu ada undang-undang untuk mengkanunkan peruntukan kewangan bagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira jalur politik. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, DAP akan menyokong Perdana Menteri bagi merealisasikan undang-undang sedemikian.

“Namun, undang-undang tersebut bukan sahaja perlu menjamin kesaksamaan dari segi akses kepada dana kawasan Parlimen, tetapi juga saksama dan berkadaran dengan jumlah pengundi serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya.

Jelas Syahredzan, peruntukan ini bukan untuk Ahli Parlimen, yang tetapi bagi menjamin keadilan buat para pengundi terutama sekali di kawasan Parlimen bersaiz mega seperti Bangi.

“Jika tidak, ianya tidak adil bagi pengundi di kawasan ini yang ‘berkongsi’ peruntukan dengan begitu ramai yang lain, berbanding kawasan yang lebih kecil,” katanya. – UTUSAN

The post Peruntukan Parlimen perlu ikut saiz kawasan, bukan sama rata appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved