
PETALING JAYA: Kegagalan Kerajaan Negeri Selangor mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 didakwa mencerminkan kelemahan rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, keadaan itu mengecewakan apabila temasya berkenaan hanya berbaki 10 hari, namun kerajaan negeri masih belum menerima sebarang peruntukan daripada kementerian berkenaan.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan terhadap keupayaan kerajaan negeri menyelesaikan isu peruntukan tersebut melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Situasi ini sangat memalukan dan rakyat melihat dengan jelas betapa canggungnya pentadbiran hari ini apabila kerajaan negeri terpaksa ‘merintih’ di dada media terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Walhal Menteri Besar, Exco Sukan, Menteri KBS dan Perdana Menteri semuanya datang daripada parti yang sama, malah berada dalam blok gabungan yang sama.
“Kegagalan melepasi birokrasi dan ketiadaan keupayaan berunding sesama sendiri ini membuktikan wujudnya kepincangan tata kelola yang sangat kritikal dalam pentadbiran Kerajaan Madani hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
5 Ogos lalu, media melaporkan, penganjuran SUKMA 2026 di Selangor secara sendirian menggunakan peruntukan negeri disifatkan tidak sepatutnya berlaku selepas tiada dana disalurkan Kerajaan Persekutuan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi dilaporkan berkata, pihaknya telah mengemukakan dua surat permohonan mendapatkan dana kepada dua Menteri Belia dan Sukan, namun usaha itu tidak mendapat peruntukan seperti diharapkan.
Mengulas lanjut, Aubidullah Fahim berkata, keadaan tersebut disifatkannya tidak menyambut baik titah Sultan Selangor yang sebelum ini memberi perkenan supaya penganjuran SUKMA 2026 dilaksanakan secara berhemat dan teliti.
“Bagaimana kerajaan negeri mahu meyakinkan rakyat dan baginda Sultan Selangor bahawa mereka mampu menguruskan penganjuran berskala besar kelak sedangkan isu peruntukan ini pun gagal diuruskan dengan cekap?,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengkritik Kerajaan Persekutuan melalui KBS yang didakwanya mengenepikan pembangunan sukan negara menerusi SUKMA.
Katanya, masa dan tenaga menteri sepatutnya ditumpukan kepada urusan pentadbiran negara termasuk usaha memperkasakan potensi belia dan sukan.
“Putrajaya hari ini dilihat terlalu sibuk berpolitik dan masih belum ‘move on’ daripada meratapi kemerosotan sokongan rakyat terhadap mereka dalam siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Masa dan tenaga menteri lebih banyak dihabiskan untuk polemik politik berbanding mengurus tadbir hal ehwal negara, terutamanya mandat besar memperkasakan potensi belia dan sukan negara,” katanya.
Beliau berkata, daripada sudut syariat Islam, kuasa dan jawatan merupakan satu amanah atau taklif yang berat dan bukannya satu keistimewaan atau tasyreef.
Katanya, Islam turut menegah sikap sambil lewa dalam urusan pentadbiran harta awam terutama sekiranya perkara itu menjejaskan maslahat rakyat.
“Mengabaikan kebajikan atlet yang membawa cabaran negeri, melengahkan hak penganjur dan kegagalan mengurus tadbir kewangan negara dengan penuh itqan atau profesionalisme adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan.
“Islam sangat menegah sikap sambil lewa dalam urusan pentadbiran harta awam atau baitulmal, apatah lagi jika ia menjejaskan maslahat rakyat.
“Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak agar KBS dan Kerajaan Negeri Selangor segera berhenti bermain wayang politik secara terbuka. Selesaikan isu peruntukan ini kadar segera demi moral dan semangat para atlet SUKMA yang telah bertungkus-lumus berlatih demi meneruskan agenda pembangunan sukan di dalam negara,” katanya. – UTUSAN
The post Peruntukan SUKMA: Pemuda Pas Selangor dakwa kerajaan gagal berunding appeared first on Utusan Malaysia.





