Pesara guru rugi RM1.1 juta, tertipu tawaran pelaburan saham tidak wujud

LocalBusiness & Finance
11 Oct 2026 • 12:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pesara guru rugi RM1.1 juta, tertipu tawaran pelaburan saham tidak wujud
Mangsa syak telah ditipu apabila dia tidak menerima sebarang wang hasil keuntungan seperti yang dijanjikan. Foto hiasan

KUANTAN - Seorang pesara guru kerugian lebih RM1.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan tawaran skim pelaburan saham tidak wujud melalui aplikasi TikTok.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lelaki berusia 65 tahun itu mendakwa melihat iklan pelaburan tersebut selepas melayari aplikasi berkenaan pada 21 Jun lalu.

Menurutnya, tertarik dengan tawaran pulangan dijanjikan, mangsa kemudiannya berhubung dengan individu yang mendakwa sebagai ejen syarikat tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

"Difahamkan, mangsa telah diberikan penerangan mengenai pelaburan saham berkenaan berserta analisis pasaran kewangan sebelum bersetuju menyertainya.

"Seterusnya, sepanjang tempoh 21 Ogos hingga 7 Oktober lalu, mangsa mendakwa telah membuat 22 transaksi bayaran ke enam akaun bank berbeza secara dalam talian dan urusan di kaunter bank atas arahan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Azry berkata, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa terus diarah membuat bayaran tambahan atas alasan yang tidak munasabah.

"Mangsa syak telah ditipu apabila dia tidak menerima sebarang wang hasil keuntungan seperti yang dijanjikan sepanjang tempoh itu.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di sebuah balai polis di daerah Pekan dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan melalui media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Buat semakan terhadap kesahihan syarikat dan status kebenaran pelaburan dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan dan elakkan membuat bayaran tambahan sekiranya terdapat permintaan yang meragukan," katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform 'Semak Mule' sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

"Sekiranya syak menjadi mangsa penipuan, segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved