
KUANTAN - Seorang bekas pengetua sekolah mengalami kerugian lebih RM1.1 juta selepas dipercayai terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang dipromosikan menerusi TikTok.
Mangsa berusia 65 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa melakukan 22 transaksi kewangan antara 21 Ogos hingga 7 Oktober lalu menerusi pemindahan wang dalam talian dan urusan di kaunter beberapa bank di Pekan dan Kuantan.
Menurutnya, mangsa mula melihat iklan pelaburan berkenaan di TikTok pada 21 Jun lalu menerusi akaun bernama Network 1 Agency Sdn Bhd.
Mangsa kemudian menghubungi seorang individu yang mendakwa sebagai ejen syarikat berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
Wang yang dilaburkan itu dipercayai diperoleh daripada beberapa sumber, termasuk simpanan peribadi, hasil penjualan tanah serta pinjaman yang dibuat bagi menyertai pelaburan terbabit.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai penipuan pelaburan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Getaran, 11 Oktober 2026






