Pesara tentera meninggal dunia dalam sujud Subuh

5 May 2026 • 9:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pesara tentera meninggal dunia dalam sujud Subuh
Razmi (kiri) dalam bulatan yang sujud dan kemudian meninggal dunia. Foto Anina
Image from: Pesara tentera meninggal dunia dalam sujud Subuh
Gambar Razmi (tengah) bersama keluarga besar yang ditinggalkan. Foto Anina

TANAH MERAH - Seorang pesara tentera meninggal dunia dalam sujud ketika solat Subuh di Masjid Kelewek di sini pada Selasa.

Razmi Mohd Noor, 66, mulanya ke masjid terbabit seperti rutin harian untuk menunaikan solat pada jam 6 pagi.

Melalui rakaman litar tertutup masjid itu, Razmi yang sujud pada rakaat pertama tidak bangun semula sebelum dibantu para jemaah lain namun disahkan meninggal dunia.

Anak perempuannya, Nur Anina Razmi, 32, berkata, dia yang bekerja sebagai polis di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu mengetahui berita kematian bapanya selepas dimaklumkan oleh adik melalui panggilan telefon semasa dia berada di rumahnya di Kampung Bechah Laut di sini.

“Kebetulan hari ini saya cuti dan patutnya jalani peperiksaan untuk prestasi kerja.

“Tiba-tiba pagi tu, adik telefon kata abah dah tak ada, saya pelik sebab biasanya waktu Subuh memang dia sudah ke masjid rupanya bapa meninggal dunia semasa solat Subuh di masjid,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3511651]**

Nur Anina berkata, bapanya antara jemaah tetap yang menunaikan solat di masjid selain mempunyai rutin mengunjungi beberapa masjid lain secara bergilir-gilir setiap hari.

“Antara rutinnya termasuk solat Subuh di Masjid Kelewek kemudian Zuhur di Batang Merbau atau Asar di Bukit Emas.

“Dia juga suka pergi ke Masjid Bukit Gading dan Gual Ipoh atau masjid di Jeli semata-mata untuk solat sebab katanya masjid itu akan menjadi ‘saksi’ dia di akhirat kelak,” katanya.

Anak kelima daripada 10 beradik itu menyifatkan pemergian bapanya sebagai satu pengakhiran yang baik dan dicemburui.

“Bapa juga pernah beritahu puas hati dapat ziarah kubur datuk walaupun tidak sempat mengenali lama kerana datuk meninggal ketika saya masih kecil,” katanya.

Dia turut berkongsi bahawa arwah sangat rapat dengan anak-anak dan cucu, malah sering meluangkan masa berkunjung ke rumah anak-anaknya.

Nur Anina turut memaklumkan arwah pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di masjid.

Tambahnya, bapanya itu mengadu sakit perut dan sesak nafas beberapa hari sebelum kejadian, namun tidak dimaklumkan kepada anak-anak.

“Walaupun sedih, kami reda. ALLAH beri pengakhiran yang sangat baik untuk ayah.

“Ini hadiah paling indah,” katanya sebak.

Selain 10 anak, Allahyarham meninggalkan isteri, Noraini Alias, 61.

Jenazahnya selesai dikebumikan di kampung berkenaan pada jam 2.30 petang.