
Pesawat Kargo Terbabas Ke Laut Di Hong Kong
Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut selepas sebuah pesawat kargo terbabas dari landasan dan terjunam ke laut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong awal pagi Isnin.
Menurut Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong (CAD), insiden melibatkan pesawat jenis Boeing yang beroperasi di bawah nombor penerbangan Emirates EK9788 dari Dubai.
Pesawat itu dilaporkan tergelincir dari landasan sekitar 3.50 pagi waktu tempatan ketika mendarat, lapor CNN.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan bahagian ekor pesawat itu kelihatan patah, manakala sebahagian besar badan pesawat tenggelam di dalam air.
Polis Hong Kong memaklumkan bahawa dua kakitangan darat lapangan terbang dilaporkan maut. Difahamkan, kenderaan yang mereka naiki di kawasan landasan terjunam ke laut selepas pesawat berkenaan terbabas dari laluannya.
Sementara itu, empat anak kapal yang berada di dalam pesawat telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Rakaman siaran tempatan menunjukkan pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian bersama beberapa kenderaan dan bot penyelamat.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian. Ini termasuk bagaimana kenderaan lapangan terbang itu boleh terhumban ke laut dan sama ada ia berpunca secara langsung daripada pesawat yang terbabas.
Berikutan insiden tersebut, operasi di landasan utara lapangan terbang terpaksa digantung sementara, manakala dua lagi landasan kekal beroperasi seperti biasa.
Sumber: CNN
The post Pesawat Kargo Terbabas Ke Laut Di Hong Kong appeared first on Siakap Keli.




