
DETROIT: Sebuah penerbangan syarikat penerbangan Delta Air Lines terpaksa dilencongkan di selepas juruterbangnya melaporkan bahawa beliau jatuh sakit dan perlu bergegas ke hospital.
Penerbangan DL437 yang membawa 147 penumpang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada jam 10.45 pagi waktu tempatan pada Selasa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston.
Perjalanan pesawat jenis Boeing 757 itu pada awalnya berjalan lancar sehingga ia berada di ruang udara Michigan. Ketika itu, pengumuman dibuat kepada penumpang bahawa pesawat terpaksa membuat pendaratan lencongan di Detroit disebabkan terdapat individu yang sakit di atas kapal.
Rakaman kawalan trafik udara (ATC) kemudian mendedahkan bahawa individu yang jatuh sakit itu sebenarnya merupakan kapten juruterbang itu pesawat tersebut.
Menerusi rakaman berkenaan, kapten pesawat itu membuat panggilan radio ke menara kawalan dengan nada suara yang jelas berada dalam keadaan cemas dan tidak selesa.
“Ini kapten. Saya yang sakit. Saya akan membawa pesawat ke pintu pelepasan dan kemudian saya perlu terus ke hospital,” kata juruterbang berkenaan menerusi rakaman radio tersebut.
Pegawai kawalan trafik udara seterusnya mengarahkan pesawat menggunakan laluan terpantas ke pintu di Lapangan Terbang Antarabangsa Detroit Metropolitan Wayne County bagi membolehkan kapten diturunkan dengan segera.
Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini sebelum juruterbang baharu naik menggantikan tugasnya dan meneruskan penerbangan membawa kesemua penumpang ke destinasi asal.
Penerbangan itu kemudian selamat mendarat di Boston tanpa sebarang gangguan susulan, hanya lewat kira-kira satu jam setengah daripada jadual asal.
Menerusi satu kenyataan kepada Daily Mail, pihak Delta Air Lines mengesahkan bahawa penerbangan tersebut dilencengkan ke Detroit susulan isu kesihatan yang melibatkan anak kapal.
“Kami memohon maaf kepada para pelanggan atas gangguan yang berlaku sepanjang perjalanan mereka,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.
Bagaimanapun, pihak Delta Lines tidak mendedahkan identiti juruterbang terbabit. – AGENSI
The post Pesawat mendarat cemas gara-gara juruterbang sakit appeared first on Utusan Malaysia.






