
PETALING JAYA: Lapan penerbangan yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dilencong ke lapangan terbang lain susulan insiden kebakaran sebuah helikopter.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Datuk Norazman Mahmud berkata, tiga penerbangan turut ditahan daripada berlepas sepanjang tempoh penutupan berkenaan.
Difahamkan, insiden itu berlaku di Laluan Pesawat Viktor, iaitu laluan pergerakan pesawat dalam kawasan operasi lapangan terbang dan bukannya di landasan.
Terdahulu, CAAM mengumumkan landasan LTSAAS ditutup dan semua penerbangan keluar serta masuk ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
CAAM dalam kenyataan mengesahkan insiden itu yang membabitkan helikopter Kamov Ka-32S dengan nombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT.
Menurutnya, kebakaran berlaku kira-kira pukul 12.28 tengah hari ketika helikopter berkenaan menjalani pengujian enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengah hari sebelum jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, dilaporkan berkata empat mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
Berdasarkan maklumat awal Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), mereka terdiri daripada seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru lelaki warga Ukraine.
Seorang daripada kru dilaporkan cedera terkena serpihan ketika berada di luar helikopter.-UTUSAN
The post Lapan penerbangan dilencong, landasan LTSAAS dibuka semula appeared first on Utusan Malaysia.






