Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan

6 Sep 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan
Fadhlan Fakhry

SHAH ALAM - Jenazah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina di sini kira-kira jam 8.50 pagi Ahad.

Jenazah anak kedua daripada empat beradik itu tiba di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam pada jam 6.05 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk proses pengebumian.

Bapanya, Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, berkata, pihak keluarga ketika ini memberi tumpuan untuk menguruskan segala urusan pengebumian anaknya terlebih dahulu.

"Setakat ini, niat saya memang untuk menguruskan arwah secepat mungkin dan diselesaikan serta dipermudahkan segala urusan.

"Selanjutnya nanti, beberapa pihak seperti UiTM dan agensi lain akan berhubung dengan saya. Buat masa ini, kami tidak ada sebarang perancangan kerana mahu selesaikan urusan ini dahulu.

"Insya-ALLAH, kami juga akan mengadakan majlis bacaan tahlil di surau berhampiran rumah," katanya pada Ahad.

Menurutnya, keluarga reda dengan pemergian Fadhlan Fakhry meskipun kejadian itu mengejutkan ahli keluarga.

"Reda, tetapi kebanyakannya seperti adik-beradik dan mak saudara memang terkejut.

"Arwah seorang yang aktif bersukan, saya sendiri selalu memantau dia dan ada memberikan nasihat supaya tidak terlalu berlebihan atau menggunakan fizikal secara berlebihan," katanya.

KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry

Media sebelum ini melaporkan, Fadhlan Fakhry yang merupakan pelajar UiTM Kampus Seremban dilaporkan rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di kampus UiTM Jengka, Pahang pada 4 September lalu.

Beliau kemudian menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang Sabtu.

Mengulas keadaan kesihatan anaknya sebelum kejadian, Mohamad Fellimal berkata, setakat pengetahuannya, Fadhlan Fakhry tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

"Setakat yang saya tahu, dia tidak pernah dimasukkan ke wad atau mempunyai sebarang masalah kesihatan khusus.

"Kebelakangan ini pun saya nampak dia sihat dan tidak ada masalah apa-apa," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved