'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia

LocalHealth & Fitness
6 Sep 2026 • 3:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.
Image from: 'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
Gambar terakhir Mohamad Fellimal bersama mangsa yang diambil semasa majlis pentauliahan dan konvokesyen Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam 29 Ogos lalu. Foto ihsan keluarga

TEMERLOH - "Saya dimaklumkan dia kelihatan lemah dan rebah ketika menghampiri garisan penamat dalam acara larian sebelum dihantar ke fasiliti perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka untuk rawatan, Jumaat lalu.

"Kira-kira jam 11 malam, saya menerima panggilan daripada pegawai UiTM memaklumkan anak saya dibawa ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dipercayai akibat strok haba."

Demikian kata Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50 bapa kepada Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana, 21, peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang meninggal dunia selepas menyertai acara yang berlangsung di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Pelajar dari UiTM Kampus Seremban itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) kira-kira jam 2 petang pada Sabtu.

Mohamad Fellimal berkata, anaknya yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai acara itu.

Katanya, anaknya juga pernah menyertai cabaran itu dalam dua edisi terdahulu malah pasukannya menjadi antara pemenang

"Dia memang minat acara sukan dan membuat persiapan mencukupi sebelum menyertai acara ini.

"Sebelum itu, saya sempat pesan supaya dia minum banyak air memandangkan cuaca panas dan beberapa kawasan agak berjerebu ketika ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik HOSHAS pada Ahad.

**media[3638365]**

Mohamad Fellimal berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya menerusi WhatsApp pada jam 6.55 petang, 4 September lalu.

"Terkejut bila menerima panggilan daripada pegawai UiTM memaklumkan dia dibawa ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri

KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry

"Saya dan isteri bertolak dari Shah Alam dan tiba di sini (HoSHAS)kira-kira jam 3.30 pagi sebelum dibenarkan melihat mangsa yang ketika itu berada di zon merah dari jarak jauh," katanya.

Berkongsi kenangan bersama anaknya itu, Mohamad Fellimal berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika majlis pentauliahan dan konvokesyen Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam 29 Ogos lalu.

"Kami rakam banyak gambar pada majlis itu untuk kenangan, rupanya itu kenangan terakhir kami bersamanya.

"Anak saya baru menamatkan pengajian diploma dan merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, namun ini pula berlaku," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved