MARAN - Sembilan peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang mengalami masalah kesihatan, termasuk seorang yang meninggal dunia menyertai acara mara lasak sejauh 10 kilometer (km) pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, semasa acara itu berlangsung, peserta terlibat termasuk empat wanita mengalami sesak nafas.
Menurutnya, semua mangsa awalnya dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan.
"Seorang lagi peserta, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang tenat dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu jam 2.08 petang pada Sabtu.
"Sementara itu, dua peserta turut dirujuk ke HoSHAS dan dimasukkan ke wad ICU pada Sabtu bagaimanapun salah seorang daripadanya kini dirawat di wad biasa. Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera
'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
'Kami rakam banyak gambar, rupanya itu kenangan terakhir' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan
KKEC UiTM: Dua peserta masih dirawat di ICU
KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry
Jelas beliau, enam lagi peserta yang dirawat di Hospital Jengka juga stabil namun masih dalam perhatian.
Kim Wai berkata, pihaknya dimaklumkan, program tersebut melibatkan 521 peserta dari seluruh cawangan UiTM kecuali Sarawak dengan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di sini sebagai tuan rumah.
Katanya, acara dianjurkan melibatkan larian lapan kilometer (km), berbasikal 20km dan mara lasak, 10 km.
"Kes itu masih dalam siasatan justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih khususnya melalui media sosial sehingga mengganggu siasatan.
"Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan," katanya.
Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






