
KUALA TERENGGANU : Sebanyak 130 tan metrik sisa pepejal terutama plastik makanan dan minuman dikutip di tapak program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, dekat sini dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membelanjakan kira-kira RM40,000 bagi kerja-kerja pembersihan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mamat berkata, kos berkenaan meliputi bayaran kerja lebih masa petugas, pertambahan perjalanan lori kutipan sampah serta lanjutan waktu operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.
Katanya, jumlah sisa pepejal yang tinggi itu menyebabkan MBKT terpaksa menambah kekerapan perjalanan lori kutipan sampah selain mengarahkan petugas bekerja lebih masa bagi memastikan kawasan program dibersihkan.
“Walaupun pihak kami sudah menyediakan tong sampah di lokasi berkenaan, masih terdapat segelintir peserta yang membuang sampah merata-rata. Dianggarkan 130 tan metrik sisa pepejal terutama plastik makanan dan minuman dikutip di tapak program RXZ Members 8.0.
“Jadi, kita terpaksa menambah bilangan trip kutipan sampah dan petugas MBKT juga terpaksa bekerja lebih masa bagi memastikan kebersihan bandar raya terjaga,” katanya ketika dihubungi di sini.
Lizan berkata, pihaknya memahami kemungkinan jumlah tong sampah yang disediakan tidak mencukupi berikutan kehadiran peserta yang melebihi 100,000 orang.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membuang sampah di merata-rata kawasan.
“Kami faham kemungkinan bilangan tong sampah yang disediakan tidak mencukupi kerana bilangan peserta yang datang melebihi 100,000 orang. Namun, sepatutnya sampah dikumpulkan di suatu tempat dan bukannya dibuang di merata-rata,” katanya.
Susulan itu, Lizan berkata, MBKT akan meneliti cadangan untuk mewajibkan mana-mana penganjur mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai antara syarat kelulusan bagi penganjuran acara berskala besar pada masa akan datang.
Katanya, penilaian semula kadar deposit pembersihan turut akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung pihak berkuasa tempatan.
“Kami amat mengalu-alukan penganjuran sebarang aktiviti atau program berskala besar di Terengganu kerana ia akan merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi. Namun, kita ingin mengingatkan bahawa tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” katanya. – UTUSAN
The post RXZ Members 8.0: 130 tan sampah, MBKT keluar RM40,000 kerja pembersihan appeared first on Utusan Malaysia.






