
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) perlu menanggung kos tambahan kira-kira RM40,000 bagi kerja pembersihan susulan peningkatan jumlah sisa pepejal sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
Memetik laporan Sinar Harian, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, kos tambahan itu melibatkan bayaran kerja lebih masa petugas, pertambahan perjalanan lori kutipan sampah serta lanjutan waktu operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.
Menurutnya, kira-kira 130 tan sisa pepejal terutama plastik makanan dan minuman dikutip selepas program berkenaan menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Beliau berkata, meskipun MBKT telah menyediakan tong sampah di sekitar lokasi acara, jumlah kehadiran yang tinggi menyebabkan kemudahan berkenaan tidak mampu menampung penggunaan dalam tempoh tertentu.
Susulan keadaan itu, MBKT kini meneliti penambahbaikan terhadap syarat kelulusan penganjuran acara berskala besar termasuk kewajipan menyediakan pelan pengurusan sisa pepejal serta penilaian semula mekanisme deposit pembersihan.
Baca juga:
- MBKT tanggung RM40,000 kos pembersihan 130 tan sisa selepas RXZ Members 8.0
‘Apa maslahat penganjuran konvoi?’- Dr Izhar gesa kaji semula RXZ Members
PERODUA turunkan harga Axia sehingga RM4,700, kini lebih mampu milik
Antara langkah lain yang dicadangkan ialah penambahan tong sampah sementara, peningkatan kekerapan kutipan pada waktu siang dan malam, pelantikan sukarelawan sebagai Duta Kebersihan serta pemantauan lebih ketat di lokasi program.
Bagaimanapun, Lizan berkata, MBKT kekal mengalu-alukan penganjuran aktiviti berskala besar kerana ia memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, namun aspek kebersihan perlu dipikul bersama oleh semua pihak.
The post MBKT tanggung RM40,000 kos pembersihan 130 tan sisa selepas RXZ Members 8.0 appeared first on The Reporter.






