Pesta Kalimaran platform pelihara warisan budaya Murut

2 Nov 2026 • 4:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pesta Kalimaran platform pelihara warisan budaya Murut

Tenom: Pesta Kalimaran terus menjadi platform penting dalam memelihara, memartabatkan dan memperkenalkan keunikan adat resam, kesenian serta warisan tradisi masyarakat Murut kepada generasi masa kini dan masyarakat umum.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang berkata penganjuran pesta itu bukan sekadar acara kebudayaan malah berperanan memperkukuh hubungan persaudaraan, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

“Penglibatan suku kaum Lundayeh dalam penganjuran bersama Pesta Kalimaran sejak 2025 memberikan dimensi baharu kepada sambutan berkenaan khususnya dalam mengetengahkan kepelbagaian adat resam, seni kraftangan dan warisan tradisional kedua-dua etnik.

“Pesta Kalimaran mempunyai sejarah panjang yang berakar daripada tradisi masyarakat Murut suatu ketika dahulu, iaitu pesta yang dikenali sebagai Injawari atau Panawari yang merupakan Tamu Besar masyarakat berkenaan sebelum era kemerdekaan.

“Penjenamaan semula pesta itu kepada Kalimaran dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan keputusan Majlis Tertinggi PMS dengan mengambil kira perkembangan zaman serta keperluan menyatupadukan masyarakat Murut.

“Ia turut membawa hasrat untuk menyuntik semangat kepada generasi masa kini supaya lebih rajin, berdaya saing dan terus berusaha mencapai kemajuan tanpa melupakan identiti serta warisan budaya sendiri,” katanya.

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong berkata demikian semasa berucap pada sambutan Pesta Kalimaran di Peringkat Negeri Sabah ke 20 tahun 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom pada Sabtu.

Jelasnya tema sambutan tahun ini, “Migogondo Jumalai Sumingkot” yang bermaksud “Bersatu Maju Membangun” amat bertepatan dengan aspirasi membina masyarakat yang bersatu padu, progresif dan berdaya saing.

Katanya kemajuan dan kesejahteraan tidak boleh dicapai secara bersendirian sebaliknya memerlukan semangat kebersamaan, kerjasama erat serta kesungguhan seluruh masyarakat untuk bergerak seiring dengan arus pembangunan.

Dalam pada itu beliau turut melihat Pesta Kalimaran sebagai antara pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya keunikan budaya, kepelbagaian etnik serta kekayaan warisan tradisional yang dipamerkan menerusi pesta itu berpotensi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengenali keistimewaan budaya masyarakat Murut khususnya dan Sabah amnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha memelihara, mempromosikan dan mengetengahkan warisan budaya tempatan perlu terus diperkukuh melalui kerjasama pelbagai pihak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved