
MARANG – Pantai Rusila di sini menjadi tumpuan ramai sejak kelmarin berikutan kemunculan kerang berikutan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) mulai semalam.
Kebanyakan mereka terdiri daripada penduduk sekitar daerah ini tidak melepaskan peluang mengutip ribuan kerang yang biasanya setahun sekali terdampar di pesisir pantai itu dan sekitarnya.
Kerang pelbagai saiz tersebut dibawa oleh ombak besar yang mula menghempas pantai berikutan ketibaan musim tengkujuh.
Seorang penduduk, Muhammad Afiq Izzuddin Suhaimi, 20, berkata, dia tidak melepaskan peluang mengunjungi Pantai Rusila sebaik mengetahui kemunculan kerang tersebut kelmarin.
“Biasanya tahun-tahun sebelum ini, kerang hanya akan muncul pada sekitar bulan November,” katanya ketika ditemui di Pantai Rusila di sini, semalam.
Muhammad Afiq Izzuddin berkata, tanpa sebarang peralatan, dia hanya mengutip kerang yang banyak terdampar di pesisir pantai dengan menggunakan tangan sebelum memasukkan ke dalam beg plastik.
Dia berkata, kerang biasanya lebih mudah didapati di pesisir Pantai Rusila tersebut pada waktu pagi.
Sementara itu, Muhd. Syarifuddin Yong, 20, berkata, dia sanggup datang dari Sungai Kerak yang terletak hampir tujuh kilometer dari Pantai Rusila untuk tidak melepaskan peluang sama-sama mengutip kerang.
Katanya, suasana di Pantai Rusila sejak kelmarin bagaikan pesta dengan semakin ramai mengerumuninya untuk mengutip kerang secara percuma.
“Saya hanya mengambil kerang secukupnya untuk dimakan bersama keluarga,” ujarnya.
The post Pesta kutip kerang di Pantai Rusila appeared first on Kosmo Online.






