PETRONAS buka potensi pengeluaran medan minyak kecil, Kluster Estuary dan Mutiara

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS buka potensi pengeluaran medan minyak kecil, Kluster Estuary dan Mutiara Image from: PETRONAS buka potensi pengeluaran medan minyak kecil, Kluster Estuary dan Mutiara amree10/09/2026 - 15:33 (Dari kiri ke kanan) Pengurus Besar Kanan, Tadbir Urus dan Perhubungan Strategik, MPM, Nurunnajwa Mohd Aras; Pengarah Urusan Harvester Energy, Christopher Merrick; disaksikan oleh Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Bacho Pilong. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 SeptPETRONAS mempergiatkan usaha membuka potensi medan minyak dan gas (O&G) yang kecil di Malaysia melibatkan Kluster Estuary dan Kluster Mutiara, sekali gus dijangka mempercepatkan pembangunan sumber hidrokarbon negara.

 

Kumpulan itu melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) baru-baru ini menganugerahkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) aset medan kecil (SFA) bagi Kluster Estuary kepada Harvester Energy (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Harvester Energy Pty Ltd dari Australia.

 

Menurutnya dalam kenyataan, kluster tersebut yang merangkumi medan Lerek, Korbu dan Diwangsa terletak di Lembangan Melayu, kawasan pengeluaran hidrokarbon yang terbukti di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

 

"Kluster berkenaan dikenal pasti berpotensi membuka sumber minyak marginal yang sebelum ini sukar dibangunkan menerusi konsep pembangunan berasaskan teknologi, termasuk pendekatan bagi perairan cetek yang baharu," kata PETRONAS.

 

Kaedah itu dijangka mempercepatkan pengeluaran komersial pertama, mengurangkan perbelanjaan modal (capex) serta mengecilkan jejak fizikal pembangunan berbanding pendekatan konvensional, selain membolehkan infrastruktur pengeluaran digunakan semula dan dipindahkan.

 

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Dr Bacho Pilong berkata, penganugerahan PSC itu mencerminkan tumpuan berterusan PETRONAS untuk membuka sumber yang sudah ditemui menerusi rumusan pembangunan yang inovatif dan bersesuaian dengan keperluan medan kecil.

 

Petronas_DagangNews2026
(Dari kiri ke kanan) Pengurus Besar Kanan, Eksplorasi Sumber, MPM, Azmir Zamri; Timbalan Pengarah Urusan, Huluan, Dialog, Saiful Azuan Abdul Aziz; disaksikan oleh Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Dialog, Mustaffa Kamal Abu Bakar.

 

Penganugerahan tersebut turut menandakan kemasukan Harvester Energy ke sektor huluan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi menarik kepada pemain tenaga yang tangkas dan berorientasikan teknologi.

 

Sementara itu, MPM turut menyerahkan set data seismik 3D yang dipertingkatkan kepada Dialog Resources Sdn Bhd bagi Kluster Mutiara yang terletak di luar pantai timur Sabah, sebagai langkah penting untuk menggerakkan pembangunan kluster itu ke arah pengeluaran.

 

"Kluster Mutiara merangkumi lima medan minyak dan gas marginal yang telah ditemui iaitu Nymphe, Nymphe North, Kuda Terbang, Benrinnes dan Mutiara Hitam, dengan pengeluaran pertama disasarkan pada 2029," jelas kenyataan tersebut.

 

PETRONAS berkata, data seismik 3D yang dipertingkatkan itu akan membantu Dialog menilai sumber Kluster Mutiara dengan lebih tepat, manakala usaha mengoptimumkan kos projek dan mempercepatkan pengeluaran turut dilaksanakan bersama perkongsian maklumat serta cadangan teknikal.

 

Secara keseluruhan, penganugerahan PSC Kluster Estuary dan penyerahan data seismik Kluster Mutiara mencerminkan pendekatan PETRONAS untuk memperkukuh sektor huluan Malaysia dengan meluaskan akses kepada peluang pelaburan serta mempercepatkan pembangunan sumber ke peringkat pengeluaran. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved