PETRONAS Chemicals catat pendapatan RM7.9 bilion walaupun operasi terjejas susulan penyelenggaraan loji

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS Chemicals catat pendapatan RM7.9 bilion walaupun operasi terjejas susulan penyelenggaraan loji Image from: PETRONAS Chemicals catat pendapatan RM7.9 bilion walaupun operasi terjejas susulan penyelenggaraan loji liza19/08/2026 - 14:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatat prestasi kewangan yang berdaya tahan pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q FY2026), dengan pendapatan meningkat 13% kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.02 bilion pada suku pertama.

 

Prestasi itu dicapai walaupun aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar menjejaskan jumlah pengeluaran dan jualan kumpulan pada suku berkenaan.

 

Kadar penggunaan loji kumpulan susut kepada 73% daripada 97% pada suku sebelumnya berikutan kerja penyelenggaraan di beberapa kemudahan dalam Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC), selain loji urea di Bintulu.

 

Bagaimanapun, keadaan itu diimbangi peningkatan purata harga produk merentas portfolio komoditi dan bahan kimia khusus selain sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti perolehan strategik dan perdagangan.

 

Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat RM143 juta kepada RM1.32 bilion daripada RM1.18 bilion pada 1Q FY2026, manakala margin EBITDA kekal pada 16.7%.

 

Baja Dan Metanol Sokong Prestasi

Syarikat itu berkata keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM445 juta berbanding RM427 juta pada suku sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI) meningkat kepada RM414 juta daripada RM401 juta.

 

Namun, prestasi PAT turut mengambil kira kemerosotan nilai RM88 juta bagi projek yang sedang dilaksanakan.

 

PCG turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 6 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dengan jumlah keseluruhan RM480 juta. Dividen itu akan dibayar pada September 2026.

 

Segmen Baja dan Metanol mencatat kadar penggunaan loji sebanyak 80% pada suku kedua berikutan aktiviti penyelenggaraan berjadual di ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd dan PETRONAS Chemicals Ammonia Sdn Bhd di Kertih.

 

Namun, penurunan kadar operasi dapat diimbangi apabila purata harga produk meningkat lebih 50% suku ke suku, didorong bekalan global yang lebih terhad susulan konflik di Asia Barat.

 

Prestasi Segmen O&D

Keadaan itu membantu meningkatkan hasil segmen Baja dan Metanol sebanyak 38% kepada RM3.7 bilion manakala EBITDA meningkat kepada RM1.2 bilion, disokong harga produk yang lebih baik serta sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti perolehan strategik dan perdagangan.

 

Sementara itu, segmen Olefin dan Derivatif (O&D) mencatat kadar penggunaan loji 56%, terjejas disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual berskala besar di beberapa kemudahan dalam KIPC.

 

Hasil segmen turun 7% kepada RM2.7 bilion berikutan pengurangan jumlah jualan.

 

Bagaimanapun, kesan penurunan jumlah jualan itu sebahagiannya diimbangi peningkatan 37% dalam purata harga produk susulan kekangan bekalan bahan mentah yang terhad.

 

Keadaan tersebut membantu segmen O&D kembali mencatat EBITDA positif sebanyak RM22 juta, didorong produk purata yang lebih kukuh.

 

Bahan Kimia Khusus Dan Operasi

Bagi segmen Bahan Kimia Khusus, peningkatan harga produk serta usaha mengurangkan kos membantu memperbaiki prestasi segmen itu walaupun permintaan pasaran masih lemah.

 

Bagaimanapun, EBITDA segmen berkenaan turun kepada RM140 juta berikutan keuntungan daripada penjualan hak pelepasan yang direkodkan pada suku pertama 2026 tidak berulang pada suku kedua.

 

t
Mazuin Ismail

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata suku kedua 2026 merupakan tempoh yang mencabar dari segi operasi berikutan pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar di beberapa kemudahan KIPC dan loji urea di Bintulu.

 

Beliau berkata, PCG kekal komited terhadap operasi yang selamat dan boleh dipercayai apabila semua aktiviti penyelenggaraan berjaya diselesaikan tanpa sebarang insiden kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) utama.

 

Menurut Mazuin, walaupun jumlah jualan lebih rendah, PCG mencatat prestasi kewangan lebih baik hasil daripada harga jualan produk yang lebih tinggi berbanding kos pengeluaran susulan konflik berpanjangan di Asia Barat. 

 

Fokus Kepada Daya Tahan

Katanya, PCG memanfaatkan peluang pasaran dengan mengutamakan pelanggan domestik dan serantau, mengoptimumkan peluang jualan segera serta memanfaatkan aktiviti perolehan strategik dan perdagangan bagi memperkukuh pendapatan.

 

Selain itu, inisiatif penciptaan nilai dan pengoptimuman kos PCG menyumbang RM324 juta kepada EBITDA bagi tahun semasa setakat ini, mencerminkan disiplin berterusan kumpulan dalam mengurus kos dan mengoptimumkan margin, di samping memberi keutamaan kepada daya saing jangka panjang berbanding keuntungan jangka pendek.

 

Melangkah ke hadapan, PCG akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang selamat, disiplin operasi dan daya tahan perniagaan ketika bersiap sedia untuk satu lagi aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar di Loji 2 PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd selain meneruskan usaha meningkatkan kadar operasi Pengerang Petrochemical Company pada suku ketiga.

 

Persekitaran operasi 2026 dijangka terus mencabar berikutan ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan serta ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.

 

Segmen O&D dijangka kekal stabil, manakala pasaran baja dijangka kekal menggalakkan disokong keperluan keselamatan makanan global, bekalan yang terhad serta permintaan import berterusan daripada India dan Australia. 

 

Harga metanol pula dijangka stabil, sementara PCG kekal berwaspada terhadap segmen Bahan Kimia Khusus berikutan pasaran pembinaan dan automotif yang masih lemah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved