PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 Sasar 200,000 Penonton

12 Aug 2025 • 11:20 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 – PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 (MotoGP Malaysia) dilancarkan secara rasmi malam ini di TRX City Park, Kuala Lumpur. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, bersama penganjur PETRONAS Sepang International Circuit (PETRONAS SIC), penaja, rakan industri dan media.

Acara ini akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025, menandakan 34 tahun Malaysia dalam kalendar MotoGP dan edisi ke-26 di PETRONAS SIC — menjadikannya acara sukan antarabangsa paling lama diadakan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata pihaknya menyasarkan 200,000 penonton tahun ini berbanding 184,923 pada 2024. Menariknya, 75% tiket telah terjual. Tahun ini juga menampilkan festival muzik EDM pertama sebelum perlumbaan, selain RM1 daripada setiap tiket akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara bagi menyokong pembangunan bakat sukan permotoran.

Promosi Buy 1 Free 1 Tiket Rahmah menjadi antara tarikan utama tahun ini, membolehkan peminat mendapatkan dua tiket K2 Hillstand dengan harga RM49.90 sahaja. Tawaran ini hanya sah selama 24 jam bermula 12 tengah hari pada 12 Ogos 2025.

YB Hannah Yeoh menegaskan MotoGP Malaysia bukan sekadar perlumbaan, malah pemacu pelancongan, peluang pekerjaan dan pembangunan belia. Melalui inisiatif seperti Tiket Rahmah dan Rakan Muda – Rakan Litar, acara ini menjadi lebih inklusif dengan impak ekonomi mencecah RM329 juta serta pulangan pelaburan 6.3 kali ganda.

Pra-acara bermula pada 18 dan 19 Oktober dengan festival EDM “HARDTECH” dan “Transmission Festival” yang dijangka menarik ribuan peminat antarabangsa. Minggu perlumbaan (21–26 Oktober) turut diserikan dengan perarakan motosikal, sesi bertemu pelumba, Public Pit Lane Walk, Night Track Tour, MotoGP Mega Carnival, serta cabutan bertuah menawarkan motosikal Aprilia RS457 bernilai RM33,900.

Tiket boleh dibeli di www.sepangcircuit.com.