hamden16/11/2026 - 12:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memperluas kapasiti pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) kepada 50 petaflops bagi memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), mempercepat analisis geosains dan meningkatkan aktiviti huluan minyak dan gas negara.
Pengembangan infrastruktur itu akan meningkatkan kapasiti pengkomputeran semasa PETRONAS kepada lebih dua kali ganda, sekali gus menyokong aplikasi digital yang semakin kompleks.
Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Ir Dr Bacho Pilong berkata, infrastruktur HPC berkenaan akan menjadi pusat utama bagi pembangunan dan penggunaan sistem AI serta teknologi pintar syarikat itu.
"Kapasiti pengkomputeran lebih besar itu berpotensi memendekkan tempoh analisis geosains yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan kepada beberapa hari atau hanya beberapa jam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Geosains Petroleum Asia (APGCE) 2026 yang dianjurkan Petronas menerusi MPM, di sini, hari ini.
PETRONAS turut membangunkan Malaysia Earth Foundation Model (MyEFM), iaitu model berasaskan AI yang bertujuan menterjemahkan data geosains kepada maklumat mengenai keadaan bawah permukaan bumi.
Model itu akan menggabungkan teknologi kembar digital bawah permukaan menerusi pemodelan stratigrafi hadapan dan pemodelan sistem petroleum bagi meningkatkan pemahaman geologi berdasarkan data baharu.
Bacho berkata, teknologi berkenaan dijangka membantu mengenal pasti sistem petroleum serta lokasi berpotensi untuk aktiviti penggerudian.
Rekod digital sampel keratan gerudi lebih 400 telaga
Bagi memperkukuh asas pembangunan AI, PETRONAS telah mendigitalkan kira-kira 130,000 sampel keratan gerudi daripada lebih 400 telaga setakat Ogos 2026, selain lebih 30 kilometer sampel teras batuan menggunakan teknologi seakan-akan pengimejan resonans magnetik, termasuk sampel sejak 1940-an.
Beliau berkata, rekod geologi itu merupakan aset negara yang bernilai kerana dapat memelihara sejarah bawah permukaan Malaysia untuk generasi akan datang, selain perlu dipastikan mudah diakses, digunakan dan mampu menghasilkan maklumat baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, PETRONAS Geoscience Technology Centre (PGTC) yang dibina khusus untuk menempatkan koleksi geologi terdahulu, pengetahuan digital dan keupayaan teknologi dijangka siap pada awal 2028.
Pusat berkenaan bertujuan memajukan inovasi serta keupayaan geosains negara dan menjadi pembangunan mercu tanda pertama PETRONAS di Putrajaya.
MyProData dinaik taraf kepada MyProData 3.0
PETRONAS turut menaik taraf MyProData kepada MyProData 3.0 bagi mengubah repositori data huluan Malaysia menjadi platform digital pintar untuk pelabur dan rakan industri.
Bacho berkata, platform baharu itu membolehkan pengguna menganalisis data huluan Malaysia, selain menawarkan derivatif data untuk langganan dan pembangunan selanjutnya. Maklumat lanjut mengenai keupayaan terkini platform itu akan diumumkan pada Pusingan Bidaan Malaysia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Januari.
Beliau berkata, inisiatif pendigitalan dan teknologi berkenaan akan menyokong keperluan pelaburan huluan Malaysia, termasuk keperluan melabur kira-kira RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun bagi mengekalkan pengeluaran sekitar dua juta tong setara minyak sehari.
PETRONAS juga berhasrat memendekkan tempoh daripada penemuan sumber kepada pengeluaran minyak dan gas pertama daripada kebiasaan 100 bulan kepada 50 bulan menerusi pemahaman bawah permukaan yang lebih baik serta proses membuat keputusan lebih pantas.
Selain itu, PETRONAS menyasarkan liputan data sebanyak 50% di seluruh kawasan sempadan penerokaan dan kawasan belum diterokai di Malaysia menjelang 2030 bagi memperkukuh potensi aktiviti penerokaan pada masa hadapan.
Bacho berkata, syarikat itu telah membolehkan pemerolehan data seismik tiga dimensi meliputi kira-kira 20,000 kilometer persegi di seluruh lembangan penerokaan baharu.
Beliau berkata, gabungan data bawah permukaan, model pintar dan infrastruktur pengkomputeran berkeupayaan tinggi akan menyokong aspirasi PETRONAS untuk mengekalkan pengeluaran domestik sekitar dua juta tong setara minyak sehari menerusi pelaburan berterusan, pembangunan sumber lebih pantas dan penerapan teknologi. - DagangNews.com





