hamden01/10/2026 - 09:12 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt - Trans Thai-Malaysia (Thailand) Limited (TTM), usaha sama antara PTT dan PETRONAS, memulakan penutupan sementara Saluran Paip Eksport Songkhla selepas satu isu dikenal pasti ketika pemeriksaan rutin.
PETRONAS dalam kenyataan berkata, penutupan itu merupakan langkah berjaga-jaga bagi melindungi integriti saluran paip serta memastikan operasi kekal selamat.
Menurutnya, pihaknya menyedari kesan yang mungkin timbul terhadap bekalan gas kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand susulan penutupan berkenaan.
“Langkah proaktif sedang diambil bagi memastikan kesinambungan bekalan kepada pelanggan di Malaysia,” katanya.
PETRONAS berkata, rangkaian bekalan bersepadunya menyediakan fleksibiliti untuk mengekalkan bekalan, selain syarikat itu bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan pelanggan bagi memastikan kestabilan sistem.
Saluran paip berkenaan hanya akan kembali beroperasi selepas disahkan selamat untuk digunakan.
“PETRONAS kekal memberi tumpuan untuk mengekalkan standard keselamatan dan integriti operasi tertinggi, di samping memastikan kebolehpercayaan bekalan kepada pelanggan domestik bagi menyokong keselamatan tenaga Malaysia,” katanya. - DagangNews.com





