
LAHAD DATU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lahad Datu membentuk jawatankuasa baharu bagi memperkukuh gerak kerja parti serta menyatukan kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan.
Ketua Bahagian PGRS Lahad Datu Ir Rajesh Datuk Yusof berkata amanah diberikan merupakan tanggungjawab besar yang memerlukan sokongan serta kerjasama semua anggota jawatankuasa bagi memastikan bahagian itu terus berkembang.
“Pembentukan jawatankuasa baharu itu turut disusuli dengan lafaz ikrar taat setia serta komitmen untuk menjaga kerahsiaan parti.
“Terima kasih kepada semua dan tahniah atas pemilihan serta pelantikan yang diberikan kerana kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk membangunkan bahagian ini.
Semangat kasih sayang, perpaduan dan keharmonian perlu menjadi asas kepimpinan selaras dengan pesanan Presiden PGRS bagi mengharmonikan bahagian ini,” katanya.
Rajesh berkata perkara itu penting memandangkan parti perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Dalam perbincangan bersama Presiden, beliau melahirkan harapan supaya kita di Lahad Datu bersatu kerana kemenangan tidak akan dicapai sekiranya kita terus berpecah,” ujarnya.
Beliau berkata cabaran kepimpinan ketika ini adalah untuk meninggalkan kaedah lama dan bersedia menerima perubahan demi memperkukuh parti.
Menurutnya pembentukan jawatankuasa baharu merupakan platform terbaik untuk membuktikan bahawa kepercayaan pucuk pimpinan terhadap kepimpinan baharu dapat diterjemahkan melalui usaha mengharmonikan seluruh bahagian.
“Kita perlu merapatkan semua ketua, bukan sahaja dalam PGRS tetapi juga dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta rakan kerjasama kita.
“Atas mandat dan arahan pucuk pimpinan, gerak kerja bagi mengharmonikan bahagian itu sudah dimulakan dan diharapkan dapat membuahkan hasil.
“Tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya membawa visi untuk menjadikan PGRS sebagai salah satu tunggak pentadbiran di Lahad Datu,” jelasnya.
Ujarnya usaha memperkukuh parti juga penting bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan khususnya dalam aspek pembangunan dan peruntukan kepada kawasan terbabit.
Beliau berkata kekuatan parti perlu bermula dari dalam dengan memastikan hubungan sesama anggota sentiasa dipelihara dan segala perbezaan pandangan diselesaikan melalui saluran yang betul.
“Tidak mungkin kita berjaya jika kita kelihatan baik di luar tetapi di dalam kita masih bertelagah atau menyebarkan perkara yang boleh menjejaskan hubungan sesama sendiri,” katanya.
Rajesh turut mengingatkan anggota supaya tidak menjadikan latar belakang, nama atau asal-usul seseorang sebagai alasan untuk menjarakkan hubungan dalam perjuangan parti.
Beliau menggesa sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disuarakan melalui platform yang disediakan dan bukannya dengan tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan parti.
“Kita mulakan lembaran baharu, perkuatkan parti dan buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa kita mampu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Dalam pada itu Rajesh menyatakan struktur organisasi bahagian turut merangkumi penyelaras di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memastikan gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Rajesh berkata ketua-ketua cawangan perlu mengenali ahli masing-masing, menjaga kebajikan mereka dan memberi bimbingan supaya struktur parti di peringkat akar umbi benar-benar berfungsi.
Mengulas persiapan menghadapi PRU16, beliau berkata siapapun calon Parlimen yang bakal diumumkan kelak, jentera PGRS Bahagian Lahad Datu perlu memastikan gerak kerja di lapangan mampu diterjemahkan kepada kemenangan.
Jelasnya soal pemilihan calon hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti yang akan menentukan calon berdasarkan syarat utama iaitu kemampuan untuk menang atau winnable candidate.
“Kita perlu turun padang, menyantuni masyarakat dan memastikan parti bergerak tanpa masalah, kekacauan atau pertelingkahan,” katanya.
Beliau berkata, PRU16 merupakan peluang untuk memperkukuh kedudukan GRS di Lahad Datu sebelum usaha diteruskan bagi memenangi kerusi Dun pada pilihan raya akan datang.






