
TAWAU: Pelancaran slogan “Selamatkan Sabah” dan logo baharu Parti Warisan (Warisan) membawa mesej bahawa parti itu mahu tampil sebagai pejuang tempatan yang benar-benar menjuarai isu keperluan asas rakyat serta mengembalikan keyakinan sokongan akar umbi.
Pada masa sama, di sebalik pengenalan slogan baharu itu, Warisan tetap komited mengekalkan slogan teras asal “Bangsa Kita, Warisan Kita, Masa Depan Kita” yang menekankan perjuangan berpaksikan rakyat berbanding kerjasama politik dengan parti lain.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata imej segar itu menyeru kesedaran bahawa Sabah berada dalam keadaan kritikal dengan pelbagai isu tertangguh, dan Warisan yakin mampu menanganinya melalui pendekatan berkesan.
“Kita bukan hanya mahu menimbulkan gelombang perubahan, tetapi mewujudkan kesatuan dalam kalangan pengundi di lokasi berbeza supaya wujud perpaduan bukan sekadar pada ucapan.
“Slogan ‘Selamatkan Sabah’ menjurus kepada tekad kita menyelamatkan negeri ini yang berdepan pelbagai isu kritikal, khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik yang masih tidak selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan slogan baharu Warisan serta menerima 1,522 ahli baharu daripada 30 cawangan Bahagian Kalabakan di Tapak Parkir Fujimart, Jalan Chong Thien Vun, di sini, Sabtu.
Shafie berkata, langkah itu diambil untuk mencetuskan gelombang perubahan besar seperti pada PRU15 dengan isu nasional, namun kini Warisan lebih menumpukan isu tempatan yang dianggap lebih realistik dan dekat dengan rakyat Sabah.
“Pada PRN 2018 kita tumbangkan Barisan Nasional (BN) dengan isu nasional, tetapi pada PRN 2020 mereka ‘bergabung membeli’ wakil rakyat Warisan sehingga kita tumpas.
“Tetapi situasinya jauh berbeza sekarang. Rakyat sendiri merasakan kesusahan apabila sering tiada elektrik, jalan rosak, bekalan air terputus, peluang pekerjaan sukar dan harga barang naik.
“Ini bukan soal parti atau kerajaan, tetapi penderitaan yang dirasai rakyat. Saya yakin kesedaran itu akan membawa kejayaan Warisan dalam meraih sokongan,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berharap imej baharu Warisan dapat menonjolkan kesatuan dari segi mesej dan tindakan, sekali gus mengukuhkan peluang menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas pengalaman PRN lalu, Shafie menegaskan Warisan mengambil iktibar daripada insiden lompat parti yang menggagalkan usaha mengekalkan kuasa pada 2020.
“Kali ini kita mahu menyatukan rakyat Sabah. Sambutan hangat dalam setiap pertemuan dengan rakyat adalah petanda baik bahawa kesedaran itu sudah ada.
“Kita bukan hanya mahu semangat juang, tetapi kecekapan juga penting supaya apabila mentadbir kelak, kepentingan rakyat dapat diurus dengan baik,” katanya.
Shafie turut mengesahkan Warisan akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN kali ini, dengan syarat pemilihan calon lebih ketat bagi mengelak insiden lompat parti berulang.
Menurutnya, Warisan secara tegas menolak mereka yang hanya mahu bertanding atas kepentingan peribadi kerana parti itu meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan tanpa prejudis terhadap agama, bangsa atau kaum.
“Jika ada ahli yang pernah melompat mahu kembali, mereka tidak boleh dicalonkan semula. Kadang-kadang ada pihak mahu sertai semula Warisan tetapi dengan syarat mahu jadi calon. Itu kita tidak kompromi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Presiden Warisan Datuk Ignatius Dorell Leiking; Naib Presiden Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Junz Wong, Terence Siambun dan Dr Daud Yussof; Setiausaha Agung Datuk Lorettor Damien S Padua Jr; serta Setiausaha Kerja Pusat Datuk Aliasgar Basri.
Hadir sama Ketua Penerangan Datuk Mohd Azis Jamman; Bendahari Agung Azhar Matussin; Pemangku Ketua Wanita Norfaizah Chua; Ketua Wira Terence SF Au; Ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis; serta barisan Ahli Majlis Tertinggi Warisan.
