
PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap parti komponennya yang memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS tidak mendesak parti komponennya untuk meninggalkan GRS, namun jika mahu bertanding solo, terserah kepada parti terbabit untuk membuat keputusan.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan GRS berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponennya, selain sokongan kuat rakyat terhadap gabungan itu.
“InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain, terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS), masih kukuh dan insyaAllah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.
“Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di pekarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah SMJ sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.
Mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020, katanya, tidak disia-siakan sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat.
“SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil,” katanya.
Sementara itu, Hajiji mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan, khususnya bagi golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga.
Katanya, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN mulai tahun depan berbanding sebanyak 40 unit pada tahun ini.
“Dulu, hanya ada empat atau lima rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tetapi tahun ini kita bagi 40 Rumah Mesra SMJ.
“Tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah, dengan tambahan sebanyak 10 unit itu untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin yang masih tinggal di rumah keluarga,” katanya.
Mengenai projek LPPB tersebut, beliau yakin ia bakal menjadi sebuah projek yang akan memberi impak besar kepada masyarakat di Pitas, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka ruang kepada kegiatan perniagaan serta perkhidmatan yang bakal memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, paling penting, projek itu juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki rumah sendiri.
“Projek ini bakal melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah berkembar setingkat dan unit rumah teres setingkat di atas tanah seluas 37.6 ekar milik LPPB, selain 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat dua tingkat, sebuah pasaraya, bilik pameran dan kiosk,” katanya.
Beliau berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual, dan menepati perjanjian yang telah dimeterai.
“Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kewangan kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan mana-mana daerah di negeri ini, termasuk di Pitas, malah sejak lima tahun lalu pelbagai projek dibawa untuk membangunkan dan memajukan daerah ini.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan untuk membina kompleks mini sukan Pitas, selain pembinaan terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan pembinaan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.
Hajiji turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang dengan kerjasama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat yang terbangkalai agar dapat dihidupkan semula untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat Pitas.
Katanya, beliau juga akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) berhubung sebidang tanah yang dimohon oleh rakyat supaya dikeluarkan dari kawasan agensi kerajaan negeri itu di Pitas.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada penerima, terdiri daripada 228 geran tanah di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (Pantas) dengan keluasan 863.735 hektar, 239 geran tanah bagi permohonan tanah (NT) dengan keluasan 406.11 hentar dan satu geran tapak Balai Polis Pitas dengan keluasan 3.587 hektar.
