
BAGAN SERAI: UMNO Bahagian Bagan Serai bersedia untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak akan datang sekiranya Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bergerak solo.
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat bagaimanapun berkata, pihaknya akan menghormati dan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat berhubung strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, Bagan Serai mempunyai satu kerusi Parlimen serta tiga kerusi DUN yang merupakan kawasan penting dalam usaha UMNO mempertahankan pengaruh politiknya.
“Kalau kita lihat keputusan PRU lalu, BN (UMNO) berada di kedudukan nombor dua. Jadi sewajarnya kita mempertahankan semua kerusi yang ada.Namun, apa juga keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti, kita akan ikut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Susu Kinta Fresh di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Sham berkata, perkembangan kerjasama politik di beberapa negeri seperti Johor dan Negeri Sembilan belum boleh dijadikan ukuran untuk negeri lain termasuk Perak.
“Kita lihat di Johor dan Negeri Sembilan, mungkin Melaka juga, kerjasama BN sedang berjalan. Tetapi bagi negeri lain, perkara itu masih belum ada kepastian,” katanya.
Menurut beliau, Perak masih belum membuat keputusan berhubung bentuk kerjasama yang akan dibentuk bagi menghadapi PRU16, walaupun sebelum ini terdapat kecenderungan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri untuk bergerak secara solo.
“Berdasarkan suara Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini, kita lebih cenderung untuk bergerak secara solo. Tetapi keputusan akhir tetap terletak kepada kepimpinan parti.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian, saya akan ikut apa sahaja keputusan yang dibuat sama ada bekerjasama dengan PN atau Pas, mahupun bertanding secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya UMNO memilih untuk bergerak solo pada PRN Perak akan datang, beliau berpandangan parti itu perlu mempertimbangkan untuk bertanding di semua kerusi DUN di negeri berkenaan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan UMNO terus memainkan peranan utama dalam landskap politik negeri selain memperkukuhkan semula sokongan rakyat terhadap parti berkenaan. – UTUSAN
The post UMNO Bagan Serai sedia pertahan empat kerusi jika BN bergerak solo. appeared first on Utusan Malaysia.






