
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperluas projek rintis sistem OCR-VA di semua saluran mengundi bagi PRN Melaka pada 14 November ini.
MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperluas pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata sistem berkenaan akan digunakan di semua saluran di setiap pusat mengundi melibatkan 28 Bahagian Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Sistem OCR-VA (digunakan) bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri sekali gus mempercepat proses semakan dan rekod kehadiran, mengurangkan kesilapan penandaan manual serta meningkatkan kecekapan petugas dan proses pada hari mengundi.
“SPR menegaskan bahawa pelaksanaan projek rintis OCR-VA juga merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Melaka di sini hari ini.
Ramlan berkata menerusi sistem berkenaan, pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan dan seterusnya meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada.
Sementara itu, beliau berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat atau saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook rasmi SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini termasuk keputusan tidak rasmi selepas waktu mengundi tamat.
Katanya, SPR juga akan melaksanakan kempen “Jom Kita Undi” melalui pelbagai saluran media bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
PRN Melaka akan diadakan pada 14 Nov dengan hari mengundi awal pada 10 Nov dan penamaan calon pada 31 Okt.





