PH tanding minimum 18 kerusi di PRN Melaka

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH tanding minimum  18 kerusi di PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mengubah strateginya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan tidak meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) yang dipertandingkan pada 14 November depan.

Sebaliknya, gabungan parti itu memutuskan untuk mele­takkan calon sekurang-kurang­nya di 18 kerusi DUN yang dilihat sebagai berpotensi untuk dimenangi pada PRN Melaka kali ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi PH di Melaka akan diumumkan Sabtu ini selepas dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden PH.

Beliau berkata, Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertan­ding di lapan kerusi DUN manakala selebihnya akan ditandingi oleh PKR dan DAP namun enggan mendedahkan secara terperinci berhubung perkara itu sebelum pengumuman rasmi dibuat Sabtu ini.

“Sebenarnya (pada mesyua­rat) Majlis Presiden PH sebelum ini kami sudah berbincang de­ngan 18 kerusi. Kami putuskan bahawa kami fokus kepada 18 kerusi, di samping menilai tiga faktor untuk lihat berapa jumlah terakhir yang kami akan ditandingi.

“Berbanding di (PRN) Johor strategi kami bertanding semua kerusi, solo, kemudian di Negeri Sembilan pun sama. Tapi di Me­laka mungkin kami ubah sedikit strategi, hanya akan bertanding di kerusi-kerusi yang meme­nuhi tiga kriteria.

“Kriteria itu, pertama adalah tentang keupayaan jentera, yang kedua, calon-calon yang kami kemukakan, ketiga, adalah penilaian rakyat sendirilah pada penerimaan kepada PH ,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, ke­utamaan PH dalam PRN Melaka kali ini adalah memperkukuh­kan kehadirannya dengan menambah jumlah kerusi sedia ada berbanding yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Katanya, PH menyasarkan untuk mengekalkan lima kerusi dimenanginya sebelum ini de­ngan menambah jumlah tersebut di empat DUN lain yang dilihat berpotensi ditawan dalam pilihan raya tidak lama lagi.

“Setakat ini kami ada lima kerusi dimenangi sebelum ini, di samping itu ada empat lagi kerusi menjadi keutamaan supaya jumlahnya meningkat kepada sembilan.

“Dalam masa sama kami memang letakkan calon di 18 kerusi, jadi ada sembilan lagi kerusi yang memang boleh ada ruang dan peluang untuk dimenangi. Itu strategi kami.

“Jadi sama ada kami jadi kerajaan atau pembangkang (di Melaka), tapi kami bersedia dalam konteks itulah. Paling penting adalah kekalkan lima kerusi sedia ada kemudian tambah empat lagi,“ katanya.

Mengulas berhubung nama­nya disebut-sebut sebagai calon poster boy PH di Melaka, Adly berkata, ia bukan fokus utama­nya buat masa ini sebaliknya mahu PH kekal utuh untuk menghadapi PRN Melaka sekali gus menawan semula negeri tersebut. – UTUSAN

The post PH tanding minimum 18 kerusi di PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved