Pharmaniaga lengkap pelan penstrukturan, sasar keluar PN17 suku pertama 2026

07/08/2025 - 09:40
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Pharmaniaga Berhad kini berada di fasa akhir proses pemulihan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selewat-lewatnya suku pertama 2026 selepas berjaya menyempurnakan langkah ketiga dan terakhir dalam pelan penstrukturannya.
Fasa akhir dalam pelaksanaan itu melibatkan pengurangan modal sebanyak RM520 juta yang telah disahkan oleh Pendaftar Syarikat selepas semua keperluan statutori dipenuhi.
Dengan itu, jumlah modal saham terbitan Pharmaniaga kini berjumlah RM249.6 juta, melibatkan 6.56 bilion saham.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkifli Jafar berkata, langkah itu melengkapkan keseluruhan pelan pemulihan yang telah diluluskan oleh Bursa Malaysia.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen Pharmaniaga untuk memenuhi semua keperluan penyenaraian Pasaran Utama, sekali gus menjadi pemangkin penting dalam usaha memulihkan keyakinan pelabur dan pasaran terhadap syarikat farmaseutikal tersebut.
“Dua komponen terdahulu iaitu terbitan hak dan penempatan swasta telah disempurnakan pada 31 Julai 2025.
“Terbitan hak menyaksikan langganan penuh sebanyak 3.46 bilion saham dengan lebihan langganan 26.14 peratus, manakala penempatan swasta menarik penyertaan 19 pelabur baharu melibatkan 1.66 bilion saham bernilai RM223.7 juta,” katanya dalam kenyataan.

Daripada keseluruhan dana yang dikumpul, sebanyak 43.9 peratus akan digunakan untuk mengurangkan hutang, langkah yang dijangka menjimatkan perbelanjaan faedah tahunan sebanyak RM12.5 juta.
Sebanyak 39.0 peratus pula diperuntukkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, termasuk pemerolehan empat gudang baharu di Malaysia serta pelaburan dalam pembangunan insulin manusia, vaksin dan ubat generik lain. Baki selebihnya disalurkan kepada modal kerja dan perbelanjaan pelaksanaan.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan pelan ini adalah bukti komitmen tinggi syarikat dalam memulihkan kedudukan kewangannya.
“Kami percaya Pharmaniaga adalah antara syarikat PN17 terpantas yang berjaya memenuhi keperluan Bursa Malaysia. Ini adalah hasil perancangan yang teliti, penglibatan telus dan sokongan berterusan daripada semua pemegang taruh,” katanya.
Beliau menambah, syarikat kini fokus untuk mencapai sasaran pertumbuhan bagi baki tahun 2025, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan memperluas kehadiran dalam segmen utama.
Pharmaniaga diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 27 Februari 2023 selepas ekuiti pemegang saham jatuh di bawah RM40 juta dan kurang daripada 25 peratus daripada jumlah modal saham terbitan.
Kejatuhan itu berpunca daripada susut nilai sebanyak RM552.3 juta terhadap stok vaksin COVID-19 yang tidak bergerak.
Bagi menangani keadaan tersebut, Pharmaniaga segera melaksanakan strategi pemulihan menyeluruh dengan mengemukakan Pengumuman Diperlukan pada November 2023, diikuti penyerahan pelan penstrukturan kepada Bursa Malaysia pada Februari 2024, dan versi dikemas kini pada November 2024.
Pelan tersebut diluluskan Bursa pada 29 November 2024 dan kemudiannya dipertingkatkan melalui pindaan yang diumumkan pada Februari 2025. Ia menerima sokongan padu para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Mac 2025.
Dengan tiga langkah utama kini selesai, Pharmaniaga semakin hampir menoktahkan fasa pemulihan dan kembali sebagai pemain utama industri farmaseutikal serantau.
Pharmaniaga ialah cabang farmaseutikal milik Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang mengendalikan lima kilang pengeluaran serta rangkaian pengedaran dan logistik yang meluas di Malaysia dan Indonesia.- DagangNews.com
standard



