PHB umum penambahan 400 juta unit baharu AHB

2 Sep 2026 • 1:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PHB umum penambahan 400 juta unit baharu AHB

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan penambahan 400 juta unit baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan kepada pelabur Bumiputera.

Penambahan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PHB dalam memperluaskan peluang pemilikan benefisial hartanah kepada lebih ramai Bumiputera menerusi pelaburan dalam aset hartanah komersial berkualiti di lokasi strategik seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata, penambahan unit tersebut selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) untuk memperkukuh pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah serta mencipta kekayaan menerusi instrumen pelaburan yang mampan dan kompetitif.

“Sebagai penaja AHB, PHB akan terus komited menyediakan peluang pelaburan yang membolehkan masyarakat Bumiputera membina dan mengembangkan kekayaan melalui pemilikan hartanah komersial berkualiti.

“AHB bukan sahaja berperanan sebagai instrumen simpanan dan pelaburan, malah menjadi medium penting dalam perancangan kewangan jangka panjang, termasuk persediaan persaraan,” katanya dalam kenyataan.

Sejak diperkenalkan pada 2010 dengan saiz dana permulaan sebanyak 1 bilion unit, AHB telah melalui lima kali penambahan unit.

Dengan penambahan terbaharu ini, jumlah keseluruhan unit AHB meningkat kepada 5.4 bilion unit, menjadikannya penambahan keenam sejak penubuhannya.

Beliau berkata, penambahan unit baharu tersebut disokong oleh suntikan nilai daripada dua aset PHB, iaitu terkini Hospital Aurelius, Alor Setar, Kedah serta penilaian semula bangunan logistik Maersk, Shah Alam.

Katanya, AHB merupakan dana unit amanah patuh Syariah berasaskan hartanah yang pertama di Malaysia.

“Dana itu disokong oleh portfolio hartanah komersial utama yang menjana pendapatan sewaan secara konsisten, sekali gus menawarkan pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

“Selaras dengan aspirasi memperkasa penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset strategik, AHB menyediakan peluang kepada pelabur Bumiputera untuk memiliki pegangan benefisial dalam hartanah komersial utama melalui pembelian unit amanah.

“PHB juga menggalakkan masyarakat Bumiputera untuk memanfaatkan peluang penambahan unit baharu ini sebagai langkah membudayakan amalan menabung dan melabur demi kesejahteraan kewangan masa hadapan.

“Orang ramai yang berminat melanggan unit AHB boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan pengedar sah AHB di seluruh negara, iaitu Maybank, AmBank, AmBank Islamic, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad,” ujarnya.

Selain itu, bagi pelanggan Maybank sedia ada, mereka boleh melanggan AHB melalui laman web Maybank2u atau menyemak pegangan unit semasa dan melanggan unit baharu melalui portal tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHB Asset Management Berhad (PHBAM), Zulkifli Ishak berkata, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memulakan dan meningkatkan pelaburan mereka dalam AHB, pihaknya akan melancarkan Kempen Simpan, Labur dan Menang bermula 1 Oktober depan.

Menurutnya, kempen tersebut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pelabur yang layak dan bertuah sebagai penghargaan atas sokongan berterusan mereka terhadap dana AHB.

“Kempen ini merupakan antara inisiatif kami untuk menggalakkan lebih ramai individu merancang kewangan jangka panjang dan membina kekayaan secara berhemah,” katanya.

Pelaburan minimum bagi AHB ialah RM100, manakala had maksimum pelaburan ditetapkan pada RM1 juta bagi setiap individu. Dana AHB diuruskan oleh PHBAM selaku pengurus dana. – UTUSAN

The post PHB umum penambahan 400 juta unit baharu AHB appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved