Piala ASEAN 2026: Harimau Malaya tunduk 0-2 kepada Vietnam

LocalFootball
17 Aug 2026 • 12:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Piala ASEAN 2026: Harimau Malaya tunduk 0-2 kepada Vietnam
Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (kanan) diasak penjaga gol Vietnam pada perlawanan separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Foto Bernama

HASRAT Harimau Malaya meraih keputusan positif menentang Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam Ahad.

Aksi babak pertama berlangsung hampir seimbang dengan kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang peluang berbahaya sepanjang 30 minit pertama perlawanan.

Malaysia kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe kemudian terlebih dahulu memberikan ancaman, namun percubaan pemain tengah Daryl Sham K. George melambung tinggi susulan situasi bola muntah selepas penjaga gol Vietnam Patrik Le Giang menepis hantaran leret Muhammad Faris Danish Asrul pada minit ke-35.

Vietnam kemudian meningkatkan tekanan pada penghujung babak pertama dengan sepakan akrobatik penyerang Nguyen Xuan Son tersasar di sebelah kiri gawang, sebelum percubaan dari luar kotak penalti pemain sayap Nguyen Dinh Bac mudah didakap penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani.

Skuad 'Naga Emas' akhirnya memecah kebuntuan pada minit kelima masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan terbang Xuan Son yang menyudahkan hantaran pemain sayap Truong Tien Anh untuk membawa Vietnam mendahului 1-0 menuju ke bilik persalinan.

Kurang seminit selepas babak kedua bersambung, skuad kendalian Kim Sang Sik hampir menggandakan kelebihan, namun sepakan Nguyen Tai Loc dinafikan Muhammad Azri sebelum percubaan susulan Xuan Son dihalang pemain gantian Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri.

Vietnam berdepan detik cemas apabila Patrik diperintah keluar padang susulan terjahan terhadap pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh di luar kotak penalti pada minit ke-61, namun pengadil Lutfullin Rustam membatalkan keputusan itu selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Muhammad Azri sekali lagi menggagalkan usaha juara tiga kali itu menambah jaringan apabila menangkap kemas tandukan pemain pertahanan Pham Xuan Manh pada minit ke-77 hasil hantaran Tien Anh dari sebelah kanan.

Malang menimpa Malaysia pada minit ke-86 apabila Muhammad Faris tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang hantaran Nguyen Quang Hai, sekali gus memberikan Vietnam kelebihan 2-0.

Biarpun ketinggalan dua gol, skuad kebangsaan terus berusaha merapatkan jurang dengan percubaan pemain sayap G. Pavithran tersasar pada minit ke-90, sebelum sepakan Muhammad Faris dari sudut sukar ditepis Patrik pada masa kecederaan babak kedua.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia, juara edisi 2010 berdepan tugas getir untuk memburu tempat ke pentas final menjelang aksi timbal balik di Hanoi, Rabu ini. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved